Skip to main content

Hiburan

SINAR perkenal gandingan baharu Suraya & Putra dalam Berdua Malam Sinar

Berdua Malam Sinar
Segmen Berdua Malam Sinar akan bersiaran Isnin hingga Jumaat, dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, menampilkan pendekatan santai, jujur dan penuh emosi yang sesuai dengan suasana malam.

SINAR dengan sukacitanya memperkenalkan Juara Penyampai EMAS SINAR, Suraya, yang kini digandingkan bersama Putra menerusi segmen baharu Berdua Malam Sinar, bermula hari ini, 6 April 2026.

Segmen Berdua Malam Sinar akan bersiaran Isnin hingga Jumaat, dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, menampilkan pendekatan santai, jujur dan penuh emosi yang sesuai dengan suasana malam.

Antara fokus utama segmen ini termasuk Bebenang Malam, Bila Hati Berbicara serta Bait-Bait Cinta, yang memberi ruang kepada pendengar untuk berkongsi cerita, perasaan dan pandangan dalam suasana yang lebih dekat dan bermakna.

Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, gandingan ini mencerminkan hala tuju SINAR yang sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara kandungan berkualiti dan personaliti penyampai yang dekat di hati pendengar.

“Suraya sebagai Juara Penyampai EMAS SINAR membawa kredibiliti, ketulusan dan sentuhan emosi yang kuat dalam penyampaian, manakala Putra pula memiliki karakter yang matang dan bersahaja.

"Kami percaya gabungan mereka dalam Berdua Malam Sinar mampu mewujudkan satu pengalaman mendengar yang lebih relevan, intim dan memberikan impak kepada pendengar setia SINAR,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa segmen ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara penyampai dan pendengar, khususnya pada waktu malam yang sering menjadi ruang untuk refleksi diri dan luahan perasaan.

“Kami berharap gandingan Putra dan Suraya ini bukan sahaja dapat menarik minat pendengar baharu, malah terus mengekalkan kesetiaan pendengar sedia ada bersama SINAR,” tambah Zureen.

Buat masa ini, SINAR memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan dan pengukuhan segmen Berdua Malam Sinar.

Pengumuman berkaitan finalis lain daripada program Penyampai EMAS SINAR (PES) akan dibuat dari semasa ke semasa, tertakluk kepada keputusan dan perancangan pihak pengurusan tertinggi.

Kedua-dua penyampai ini memiliki personaliti yang tersendiri serta keupayaan untuk menarik perhatian pendengar melalui gaya penyampaian yang unik, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan SINAR sebagai stesen pilihan utama rakyat Malaysia.

SINAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, SINAR memfokuskan kepada lagu-lagu popular era 90an, menjadikannya pilihan utama pendengar di Malaysia.

Dengan hampir 4 juta pengikut di media sosial, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik.

Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti SINAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi SINAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

SINAR – Muzik Retro Terbaik.

Must Watch Video