Skip to main content

Hiburan

Antara 'eksperimen' dan evolusi kandungan Tamil Astro: Bagaimana peluang untuk bakat tempatan?

Vinmeen Exclusive Series Source:Astro
Bagi memenuhi cita rasa penonton yang masih menggemari naskhah ringkas dan padat, Astro turut menampilkan drama bersiri eksklusif merangkumi pelbagai genre. -Gambar Astro

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) pernah mencetuskan 'fenomena' dalam landskap kandungan Tamil tempatan menerusi mega siri Pasanga 3 yang merangkumi 228 episod, satu angka luar biasa yang belum pernah diterokai dalam sejarah dunia penyiaran Tamil tempatan sebelum ini.

Konsep mega siri itu dilihat sebagai satu pendekatan luar biasa apabila mengadaptasi trend di India yang mengekalkan kesinambungan jalan cerita untuk tempoh panjang. 

Dalam konteks Malaysia, langkah 'berani' memperkenalkan siri berskala besar itu boleh ditafsir sebagai satu 'uji kaji pasaran'. 

Namun perlu diakui, setiap 'eksperimen' dalam industri penyiaran tidak pernah terlepas daripada ruangan 'perbahasan' umum baik dari perspektif positif atau sebaliknya. 

Tapi tentunya, tanpa pelaksanaan sebenar, sukar untuk menilai sejauh mana tahap penerimaan serta kesediaan penonton tempatan terhadap format bersiri panjang. 

Melangkah ke hadapan, Astro dilihat tidak sekadar 'bereksperimen' dengan format panjang, malah terus meluaskan kandungan melalui penambahan slot siaran yang lebih inklusif. 

Bagi memenuhi cita rasa penonton yang masih menggemari naskhah ringkas dan padat, Astro turut menampilkan drama bersiri eksklusif merangkumi pelbagai genre.

Langkah tersebut diterjemahkan melalui pengenalan empat drama baharu iaitu Manam, Raja Rani, Thural dan Maara sepanjang tahun ini. 

Pendekatan ini dilihat mengimbangi antara 'eksperimen' format mega siri dan pengenalan drama bersiri eksklusif memperlihatkan satu evolusi strategi kandungan.

Image
Vinmeen Exclusive Series Astro

 

 

Image
Vinmeen Exclusive Series Astro

 

 

Image
Vinmeen Exclusive Series Astro

Drama Manam, adaptasi daripada naskhah Melayu Layang-Layang Perkahwinan, yang kini ditayangkan di saluran 202, Astro Vinmeen menjadi manifestasi strategi kandungan yang lebih dinamik apabila menggabungkan naratif sedia dikenali dengan olahan baharu bagi menyuntik relevansi dalam konteks komuniti Tamil tempatan.

Manam mengisahkan Sheena (Jayshree), seorang isteri yang setia menyokong kerjaya suaminya, Varun (Surrya Prakash). 

Walaupun sibuk dengan kerjaya sendiri, Sheena memastikan urusan rumah tangga dan keluarga berjalan lancar.

Namun, kebahagiaan itu mula retak apabila Sheena menghidu perubahan sikap Varun yang kerap pulang lewat dengan pelbagai alasan.

Nalurinya akhirnya membawa kepada kebenaran pahit, suaminya berlaku curang. 

Mampukah Sheena mempertahankan rumah tangga yang dibina, atau pengkhianatan itu menjadi titik noktah kepada sebuah perkahwinan yang selama ini diperjuangkannya?

Walaupun baru memasuki minggu kedua siaran, perkembangan awal Manam memperlihatkan momentum yang positif.

Melihat kepada rentak perjalanannya, jelas terdapat penerimaan yang memberangsangkan dalam kalangan penonton, sekali gus mencerminkan kecenderungan terhadap naratif yang lebih matang dan realistik.

Malah, dalam sidang media yang berlangsung minggu lalu, beberapa wartawan yang hadir turut memuji pendekatan penceritaan yang ditampilkan, sekali gus mengakui potensi drama berkenaan untuk mencetuskan dimensi baharu dalam kandungan Tamil tempatan. 

Dalam nada yang sama dengan drama Aadhira, Manam turut meraih pujian kerana dianggap membawa pembaharuan dalam landskap kandungan Tamil tempatan, khususnya dari segi pendekatan penceritaan dan pengolahan emosi yang lebih segar serta relevan.

Malah, drama tersebut turut tersenarai dalam carta Top 10 Astro, memperkukuh lagi indikator penerimaan serta sokongan penonton terhadap karya berkenaan.

Menurut salah seorang penonton, Prem's Bridal  dalam perkongsian di Facebook menyatakan,  “Nice and impressive modern serial. Very well written script. Well chosen cast" (sebuah drama moden yang menarik dan mengagumkan dengan skrip yang ditulis dengan baik serta pemilihan barisan pelakon yang tepat). 

Dalam pada itu, Ketua Kandungan Indian Customer Business (ICB) Astro, Jegan Manickam Wash berkata, fokus turut diberikan kepada pembangunan ekosistem industri apabila hampir 50 bakat baharu termasuk pelakon serta kru produksi diperkenalkan menerusi empat judul terbaharu tahun ini. 

Katanya, pendekatan itu adalah sebagai langkah memperkaya landskap naratif, sekali gus memastikan ruang berkarya lebih terbuka dan tidak terhad. 

Menurutnya, Astro sentiasa berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan karya terbaik kepada penonton serta komited membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk bakat baharu mengasah potensi mereka.

Kata beliau, slot eksklusif siri Vinmeen kini dilanjutkan daripada 30 minit kepada satu jam iaitu dari pukul 9.30 malam hingga 10 malam, setiap Isnin hingga Khamis. 

"Mega siri Pasanga 3 membuka tirai siaran pada pukul 9 malam hingga 9.30 malam dan kemudian disusuli drama eksklusif baharu ini dari 9.30 malam hingga 10 malam. 

"Pasanga 3 menekankan elemen kekeluargaan yang sarat dengan nilai kasih sayang, hubungan serta konflik harian yang dekat dengan realiti masyarakat. 

"Naratifnya lebih ringan namun menyentuh emosi, menampilkan dinamika keluarga yang menjadi tunjang utama penceritaan. 

"Berbeza dengan itu, deretan drama bersiri baharu ini membawa kepelbagaian genre daripada konflik rumah tangga dan percintaan, sehinggalah drama kekeluargaan, emosi dan misteri. 

"Pendekatan ini memberi variasi kepada penonton, sekali gus memastikan setiap slot menawarkan pengalaman tontonan yang berbeza dan tidak terikat kepada satu bentuk penceritaan semata-mata," ujarnya. 

Selain deretan drama bersiri, kata Jegan beberapa program baharu lain turut dijadualkan menemui penonton termasuk Marma Desam, Pakathu Veedu serta Behind The Beat, sekali gus memperkukuh variasi kandungan tempatan yang diketengahkan. 

Beliau memberitahu, Marma Desam diinspirasikan daripada segmen popular kendalian penyampai radio Geetha di Astro Raaga. 

"Segmen berunsur misteri dan kisah benar ini akan dikembangkan dengan elemen lakonan semula," jelasnya. 

RAAGAvil Marma Desam pernah merangkul anugerah Malaysia Book of Records untuk Most Tamil Horror Podcast Downloaded In A Year pada 2023. 

Siri Manam membuka tirai siaran bermula 2 Februari hingga 24 Mac, diikuti Raja Rani (25 Mac hingga 5 Mei).

Seterusnya, Thural bakal menemui penonton bermula 6 Mei hingga 16 Jun, sebelum Maara mengambil alih slot siaran dari 17 hingga 28 Julai. 

Menariknya, kesemua drama itu boleh ditonton semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum kerana turut disediakan sari kata. 

Jangan lupa saksikan setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9.30 malam di Astro Vinmeen (Saluran 202), selain boleh distrim menerusi Astro GO, On Demand dan Sooka.

Must Watch Video