Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Hook, algoritma dan jiwa raya yang tercicir

Sumber: Astro AWANI
Lagu-lagu raya nyanyian P. Ramlee, M. Nasir, Sudirman dan Siti Nurhaliza sehingga kini kekal relevan dan menjadi pilihan saban tahun setiap kali menjelang lebaran.

ASSALAMMUALAIKUM...

Setiap kali Ramadan menghampiri penghujungnya, industri muzik Malaysia akan mengalami sebuah fenomena yang hampir bersifat ritual. 

Tiba‑tiba semua pihak mahu menghasilkan lagu raya. Baik penyanyi pop, rap, rock, malah penyanyi yang sepanjang tahun menyanyi tentang cinta entah apa-apa pun berubah menjadi “duta” Aidilfitri. 

Seolah-olah Syawal adalah musim menuai paling lumayan dalam kalender muzik.

Namun, dalam lambakan lagu itu, ada satu perkara yang semakin sukar disangkal: lagu raya hari ini semakin kehilangan jiwa. 

Barangkali ia lebih moden, lebih berwarna dan lebih viral, tetapi sesuatu yang sangat penting sudah hilang daripada nadinya.

Penulis tahu pembaca setia tulisan ini sering menganggap penulis seperti radio rosak.

Tidak mengapalah kerana penulis hanya menulis apa yang dirasai pada saat ia dirasai.

Penulis selalu mengatakan bahawa lagu raya dahulu lebih bermakna kerana ia lahir daripada jiwa yang lebih menyeluruh. 

Komposer dahulu menulis lagu raya bukan seperti menulis jingle iklan, tetapi seperti menulis doa yang kebetulan ada melodi.

Dengarkan sahaja karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Datuk S. Atan, Allahyarham Pak Ngah Suhaimi Mohd Zain, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab atau Datuk M. Nasir. 

Lagu mereka tidak sekadar menggambarkan suasana perayaan, sebaliknya membawa rasa syukur, rindu kepada ibu bapa, dan kesedaran bahawa hari raya adalah titik kemuncak perjalanan rohani sepanjang Ramadan.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kompas industri muzik berubah arah. 

Lagu bukan lagi dicipta untuk hidup lama dalam ingatan, tetapi untuk bertahan sekejap dalam algoritma. 

Spotify, YouTube dan TikTok menjadi dewa baharu dunia muzik. 

Maka tidak hairanlah jika ramai komposer dan penerbit hari ini sibuk memikirkan satu perkara: “Bagaimana mencipta lagu yang mendapat rotation tinggi dalam playlist digital?”

Jawapannya pula sering sama - lagu mesti ada hook. 

Chorus mesti muncul dalam beberapa saat pertama. Lirik tidak perlu mendalam atau bergaya tinggi. 

Malah jika perlu, ulang sahaja bunyi yang mudah diingat. “La la la…” pun memadai asalkan berpotensi menjadi trend di TikTok.

Di sinilah tragedi bermula. Bila formula industri ini diterapkan kepada lagu raya, ia ibarat memasukkan jiwa Ramadan ke dalam mesin karaoke. 

Sedangkan hari raya bukan sekadar pesta bunyi; ia adalah kemuncak perjalanan spiritual yang panjang dalam tradisi Islam.

Perkataan “Eid” dalam bahasa Arab membawa maksud perayaan yang kembali setiap tahun. 

Aidilfitri pula bermaksud kembali kepada fitrah - kembali kepada keadaan suci setelah sebulan manusia menahan lapar, menahan hawa nafsu dan membersihkan hati.

Dalam tradisi Islam, hari raya ialah hari kegembiraan bagi mereka yang berjaya menyempurnakan ibadah dengan hati yang bersih. 

Ia bukan hanya perayaan, ia adalah kemenangan rohani. Sebab itu lagu raya tidak boleh menjadi sekadar lagu pesta. 

Ia tidak perlu juga menjadi melodrama yang memaksa pendengar menangis. 

Lagu raya yang baik harus seimbang antara kegembiraan, keinsafan, kasih keluarga, iman, kesabaran dan rasa syukur.

Penulis sering mengambil contoh keseimbangan itu daripada lagu klasik “Satu Hari Di Hari Raya” oleh M. Nasir.

Lagu ini bukan hanya menggambarkan suasana beraya, tetapi mengangkat Hari Raya sebagai tanda kebesaran Tuhan.

Langit cemerlang tak terkira,
tanda kuasa Yang Maha Esa.”

Dua baris ini sahaja cukup untuk menunjukkan bahawa Hari Raya dilihat sebagai sesuatu yang jauh lebih besar daripada perayaan budaya. Ia adalah refleksi spiritual.

Lagu ini juga mengangkat emosi keluarga - sesuatu yang sangat dekat dengan jiwa masyarakat Melayu. 

Ia mengingatkan kita kepada wajah ibu ayah, kepada perjalanan pulang ke kampung yang menjadi inti Aidilfitri.

Bandingkan dengan sebahagian lagu raya moden yang kedengaran seperti lagu pesta yang kebetulan memakai baju Melayu. 

Namun, masalahnya bukan pada muzik moden. Muzik perlu berkembang. Masalahnya timbul apabila semangat perayaan menjadi cetek.

Jika melihat sejarah muzik dunia, hampir semua lagu perayaan utama mempunyai akar agama yang kuat. 

Lagu Krismas seperti Silent Night atau O Holy Night tidak lahir sebagai lagu musim cuti, tetapi daripada kisah kelahiran Nabi Isa dan tradisi gereja. 

Sebab itulah ia kekal dinyanyikan hingga hari ini walaupun dunia muzik berubah berkali-kali. Ia hidup kerana ia lahir daripada cerita yang lebih besar daripada industri muzik — ia lahir daripada iman, sejarah dan tradisi manusia.

Lagu raya juga sepatutnya begitu. Ia bukan produk bermusim yang muncul setiap Ramadan dan hilang selepas Syawal. 

Apabila industri muzik hanya menilai lagu taya melalui jumlah streaming, sesuatu yang suci sedang ditukar menjadi statistik - sedangkan statistik tidak pernah mempunyai jiwa.

Akhirnya kita mendapat lagu yang trending selama dua minggu, tetapi mati selepas itu. 

Sedangkan lagu raya yang sebenar bukan hidup dalam carta muzik; ia hidup dalam kenangan manusia - dalam kereta yang membawa kita pulang ke kampung. Dalam dapur ibu yang penuh bau rendang. Dalam pelukan ayah selepas solat hari raya.

Maka inilah soalan yang perlu ditanya kepada setiap komposer yang mahu menulis lagu raya hari ini: adakah kamu mahu menghasilkan lagu yang viral atau lagu yang akan dinyanyikan oleh cucu kita 30 tahun dari sekarang?

Ya, penulis mungkin seperti radio rosak, tetapi bagi penulis, lagu raya yang sebenar bukan sekadar bunyi - ia adalah sebahagian daripada jiwa sebuah bangsa.

Sekian.

5 lagu raya pilihan penulis sepanjang zaman:

Suatu Hari Di Hari Raya (1981)
Penyanyi: M. Nasir
Komposer: M. Nasir
Lirik: M. Nasir

Salam Dunia (2000)
Penyanyi: M. Nasir
Komposer: M. Nasir
Lirik: M. Nasir

Dendang Perantau (1960-an)
Penyanyi: P. Ramlee
Komposer: P. Ramlee
Lirik: S. Sudarmaji

Balik Kampung
Penyanyi: Sudirman
Komposer: S. Atan
Lirik: Sudirman
(Nota: Penulis pernah bertemu Allahyarham S. Atan di Mekah pada 2024. Beliau pernah berkongsi bahawa Balik Kampung sebenarnya bukan lagu Raya, tetapi lagu untuk album Sudirman pada 1984, Lagu Dari Sebuah Bilik — berkisarkan pelajar balik kampung untuk cuti semester atau pulang mengundi.)

Sesuci Lebaran (2003)
Penyanyi: Datuk Seri Siti Nurhaliza
Komposer: Pak Ngah Suhaimi
Lirik: Hairul Anuar Harun


* Datuk Saniboey Mohd Ismail merupakan mantan wartawan, editor majalah, ketua jabatan di stesen televisyen tempatan dan satelit, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Belia & Sukan dan kini penerbit filem serta rancangan televisyen tempatan.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video