Skip to main content

Malaysia

Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson terajui siri terbaharu Astro Originals ‘Good Boys Go To Heaven’ bermula 8 Mei

ASTRO GBGTH_TB
Strim Astro Originals ‘Good Boys Go To Heaven’ Astro One dan aplikasi sooka bermula 8 Mei Ini. -Gambar Astro

KUALA LUMPUR: Astro terus memperkukuh penawaran kandungan berkualiti menerusi Home of Drama dan Originals melalui siri terbaharu Astro Originals, Good Boys Go To Heaven, yang menampilkan naratif berani serta mengangkat isu sosial semasa.

Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad berkata, siri berkenaan dihasilkan bagi mengangkat isu sensitif secara lebih berperikemanusiaan, di samping memberi impak kepada masyarakat.

Menurutnya, sejak diperkenalkan kira-kira enam tahun lalu, Astro Originals telah menerbitkan pelbagai genre termasuk Kampung Pisang Bersiri-siri, Projek: High Council, dan One Cent Thief sebagai usaha berterusan meningkatkan kualiti penceritaan.

“Melalui Good Boys Go To Heaven, kami bawakan kisah tragedi yang menimpa sebuah komuniti apabila seorang kanak-kanak dilaporkan hilang sebelum ditemui mati.

“Cerita ini bermula sebagai satu penyiasatan, namun apabila kebenaran terbongkar, ia turut membawa kepada kesan trauma yang mendalam yang tidak boleh dielakkan.

“Kami juga menyentuh isu kesihatan mental dan berusaha mengangkat isu sensitif ini secara lebih berperikemanusiaan supaya ia dapat difahami oleh penonton.

“Bagi kami, karya seperti ini penting untuk memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Image
ASTRO GBGTH_INSERT
Raja Jastina ketika sidang media tayangan perdana 'Good Boys Go To Heaven' di ibu negara pada Rabu. - Gambar Astro

Tambah beliau, walaupun tema yang diketengahkan bersifat berat dan sensitif, ia wajar dibawa ke arus perdana kerana mencerminkan realiti sebenar.

“Semakin berat dan sensitif sesuatu isu, semakin penting untuk ia diberi ruang supaya dapat dilihat dan didengar oleh masyarakat.

“Ini kerana perkara seperti ini benar-benar berlaku dalam kehidupan sebenar dan kita perlu terus menceritakan kisah-kisah sebegini,” ujarnya.

Naskhah ini dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Beto Kusyairy sebagai Yasser, Zahirah MacWilson sebagai Dahlia, Firdaus Karim sebagai Bahamin, Malek McCrone sebagai Zayd, Amerul Affendi sebagai Inspektor Kamal, Amanda Ang sebagai Sarjan Leona, serta Sky Iskandar sebagai Ustaz Reyhan, di samping memperkenalkan bintang cilik baharu, Sayf Mikael sebagai Ahyan.

Image
ASTRO GBGTH_INSERT
Siri ini dihasilkan oleh pasukan kreatif berpengalaman di bawah pimpinan penulis Mira Mustaffa, serta diarahkan oleh Ariff Zulkarnain. - Gambar Astro

Menerusi watak Yasser, Beto Kusyairy membawa dimensi emosi seorang bapa yang berdepan kehilangan anak, sekali gus mengangkat konflik trauma dan kesihatan mental dalam naskhah ini.

Katanya, watak tersebut sarat dengan pelbagai lapisan emosi serta isu yang dekat dengan masyarakat.

“Yasser merupakan seorang ayah yang kehilangan anak dan melalui pelbagai konflik berkaitan trauma serta kesihatan mental.

“Ada banyak lapisan cerita yang kami paparkan dan saya harap apa yang dipelajari dapat disampaikan kepada penonton serta memberi kesedaran kepada mereka di luar sana.

“Mungkin ia juga dapat membuka ruang kepada individu yang mengalami situasi sama untuk tampil mendapatkan bantuan,” jelasnya.

Image
ASTRO GBGTH_INSERT
Beto Kusyairy ketika sidang media tayangan perdana 'Good Boys Go To Heaven' di ibu negara pada Rabu. - Gambar Astro

Mengulas cabaran lakonan, beliau berkata aspek emosi menjadi antara cabaran terbesar sepanjang penggambaran.

“Cabaran terbesar saya adalah untuk memberikan keadilan kepada watak yang mungkin mewakili pengalaman sebenar orang di luar sana.

“Kami cuba memaparkan pelbagai perspektif termasuk hubungan sekeliling dan kesannya terhadap keluarga, khususnya hubungan suami isteri.

“Dari awal penggambaran lagi kami sudah melalui babak tragedi, jadi emosi itu perlu dibawa sehingga ke penghujung cerita.

“Walaupun mencabar, ia membantu dalam pembinaan watak secara konsisten sepanjang siri ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap siri tersebut mendapat sokongan penonton memandangkan usaha besar yang dicurahkan oleh pasukan produksi.

“Kami cuba menghasilkan karya yang realistik dari sudut penulisan dan psikologi.

“Saya percaya kualiti yang dibawakan dalam Good Boys Go To Heaven ini bukan sesuatu yang biasa dan wajar diberi peluang oleh penonton,” ujarnya.

Siri itu mengisahkan seorang bapa yang berdepan tragedi kehilangan anak sebelum kes berkenaan merungkai satu penyiasatan serta persoalan mendalam tentang kesan trauma terhadap individu dan komuniti.

Strim Astro Originals ‘Good Boys Go To Heaven’ Astro One dan aplikasi sooka bermula 8 Mei Ini.

 

Must Watch Video