MOUNTAIN VIEW: Sempena ulang tahun ke‑20 Google Translate, aplikasi terjemahan itu memperkenalkan ciri baharu “pronunciation practice” yang membolehkan pengguna berlatih sebutan dengan maklum balas masa nyata berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Menerusi ciri berkenaan, pengguna boleh berlatih sebutan secara langsung dalam aplikasi apabila sistem mendengar rakaman suara mereka sebelum memberikan cadangan penambahbaikan bagi setiap perkataan dan bunyi, lapor Amanz.
Setakat ini, ciri tersebut tersedia untuk pengguna Android di Amerika Syarikat dan India, melibatkan bahasa Inggeris, Sepanyol dan Hindi, sebelum diperluaskan ke pasaran dan bahasa lain.
Google dalam satu kenyataan memaklumkan, perkhidmatan itu kini mencatatkan lebih satu bilion pengguna setiap bulan, dengan kira-kira satu trilion perkataan diterjemahkan merentasi platform Google setiap bulan, angka yang dianggarkan menyamai tempoh pembacaan selama 12,000 tahun secara berterusan.
Pengenalan ciri latihan sebutan ini mencerminkan usaha Google memperluas fungsi Google Translate sebagai alat pembelajaran bahasa yang lebih interaktif, bukan sekadar terhad kepada terjemahan teks.
Sejak dilancarkan pada 2006, Google Translate telah berkembang daripada sistem berasaskan statistik kepada model rangkaian neural pada 2016, dan kini menggunakan model Gemini AI bagi meningkatkan ketepatan serta kefahaman konteks bahasa.