Skip to main content

Dunia

‘Ratu Ketamin’ dihukum penjara 15 tahun sebabkan kematian pelakon Matthew Perry

Sumber: REUTERS
Jasveen Sangha (kanan) dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun kerana menjual dadah yang membawa kepada kematian pelakon siri Friends, Matthew Perry. - Gambar Reuters

LOS ANGELES: Seorang wanita dari Los Angeles yang digelar “Ketamine Queen” (Ratu Ketamin) dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun kerana menjual dadah yang membawa kepada kematian pelakon siri Friends, Matthew Perry.

Jasveen Sangha, 42 tahun, mengaku bersalah pada September lalu atas lima pertuduhan, termasuk satu pertuduhan mengedar ketamin yang mengakibatkan kematian atau kecederaan tubuh badan.

Pihak pendakwa menggambarkan rumah Sangha di North Hollywood sebagai sebuah “pusat penjualan dadah”, yang membekalkan pelbagai jenis bahan terlarang kepada pelanggan kaya dan berpengaruh.

Perry, yang telah lama berdepan dengan masalah ketagihan, ditemui meninggal dunia di dalam tab panas di kediamannya di Los Angeles pada Oktober 2023. 

Siasatan mendapati punca kematiannya adalah kesan akut ketamin.

Ketamin ialah sejenis ubat bius disosiatif yang mempunyai kesan halusinogen dan sepatutnya hanya diberikan oleh doktor.

Sangha menangis teresak-esak ketika ahli keluarga Perry menyampaikan kenyataan di mahkamah, sebelum hakim mengumumkan hukuman terhadapnya.

Hakim menyatakan Sangha perlu bertanggungjawab atas jenayahnya, sambil menegaskan bahawa dia langsung tidak menunjukkan sebarang penyesalan sejak ditangkap.

Apabila diberi peluang untuk bercakap di mahkamah, Sangha mengakui bahawa keputusan buruknya telah menghancurkan kehidupan ramai orang, dan dia menyatakan rasa amat malu serta kesal atas perbuatannya.

Menjelang hukuman dijatuhkan, ibu tiri Perry, Debbie Perry, meminta hakim menjatuhkan hukuman penjara maksimum.

Sangha telah menyebabkan kerosakan yang “tidak boleh diperbaiki”, kata Debbie Perry dalam kenyataan kesan terhadap mangsa yang dikemukakan kepada mahkamah California pada Selasa.

“Kamu yang menyebabkan perkara ini… kamu yang mempunyai bakat perniagaan untuk mencari wang memilih jalan yang menyakiti orang lain,” katanya.

“Tolong jatuhkan hukuman penjara maksimum kepada wanita ini supaya dia tidak dapat menyakiti keluarga lain seperti kami.”

Pihak berkuasa persekutuan menemui berpuluh-puluh botol ketamin semasa serbuan di rumah Sangha di Los Angeles dan menuduhnya membekalkan dadah suntikan itu dari “rumah simpanan” di North Hollywood sejak sekurang-kurangnya tahun 2019.

Beribu-ribu pil lain termasuk methamphetamine, kokain dan Xanax turut ditemui.

Sangha pada awalnya menafikan semua pertuduhan, namun bersetuju menukar pengakuan pada Ogos - hanya beberapa minggu sebelum perbicaraannya dijadualkan bermula.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan bersalah, Sangha turut mengaku menjual ketamin kepada seorang lelaki bernama Cody McLaury pada Ogos 2019, yang meninggal dunia beberapa jam selepas pembelian akibat dos berlebihan dadah, menurut Jabatan Kehakiman.

Beliau pada mulanya berdepan hukuman maksimum 65 tahun penjara persekutuan.

Menurut peguamnya, Sangha telah ditahan sejak Ogos 2024. 

Beberapa surat sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya turut dikemukakan di mahkamah.

Pada Mac lalu, peguam Sangha meminta hakim mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan, dengan alasan beliau telah “mengambil tanggungjawab atas salah laku jenayah serius” dan tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Matthew Perry yang terkenal dengan watak Chandler Bing dalam sitkom popular Amerika era 1990-an Friends, telah bergelut selama beberapa dekad dengan ketagihan bahan terlarang dan mengambil ketamin sebagai sebahagian daripada terapi diawasi untuk merawat kemurungan.

Sangha merupakan salah seorang daripada lima individu - termasuk doktor perubatan dan pembantu peribadi pelakon itu yang menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat telah membekalkan ketamin kepada Perry, mengeksploitasi ketagihannya demi keuntungan dan akhirnya menyebabkan kematiannya akibat dos berlebihan. 

Empat individu lain turut bersetuju mengaku bersalah.

Dr Salvador Plasencia, yang membekalkan ketamin kepada Perry dalam minggu-minggu sebelum kematiannya, dijatuhi hukuman 30 bulan penjara pada Disember lalu.

Pada bulan sama, Dr Mark Chavez, seorang doktor dari California yang menjual ketamin kepada Perry, dijatuhi hukuman lapan bulan tahanan rumah dan tiga tahun pembebasan bersyarat.

Doktor yang berpangkalan di San Diego itu mengaku mendapatkan ketamin dari kliniknya dan pengedar borong melalui preskripsi palsu sebelum menjualnya kepada Plasencia, yang kemudiannya membekalkannya kepada Perry.

Pembantu peribadi Perry yang tinggal bersamanya, Kenneth Iwamasa, yang membantu membeli dan menyuntik ketamin kepada pelakon itu, dijadualkan dijatuhi hukuman akhir bulan ini, namun pasukan guamannya telah memohon penangguhan.
Eric Fleming, yang menjual ketamin diperolehnya daripada Sangha kepada Perry, dijadualkan untuk dijatuhi hukuman pada Jun. - Agensi
 

Must Watch Video