Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Langkah penjimatan tidak jejas perancangan utama KPM - Fadhlina

KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjawab pertanyaan media selepas Majlis Perasmian Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LITR.AI) 2026 di Menara DBP hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjawab pertanyaan media selepas Majlis Perasmian Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LITR.AI) 2026 di Menara DBP hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Langkah penjimatan kerajaan dalam merangka Belanjawan 2027 tidak akan menjejaskan perancangan utama Kementerian Pendidikan (KPM) terutama dalam skop pengambilan guru baharu serta pembinaan bilik darjah tambahan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau turut memberikan jaminan langkah penjimatan itu tidak akan mengganggu penerima manfaat program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), yang disifatkan sebagai penting bagi pengambilan nutrisi murid.

Selain itu, Fadhlina berkata pembaikan sekolah-sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan akan diteruskan seperti biasa.

“Kita tidak mahu rakyat merasa risau dan gusar kerana walaupun seruan penjimatan itu adalah seruan yang sangat penting dan kritikal ketika ini, tetapi saya ingin beri jaminan bahawa ia tidak akan memberikan ataupun mengganggu dalam konteks terkait rapat dengan keutamaan-keutamaan pada peringkat kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.

Fadhlina berkata KPM juga akan memastikan sebarang langkah penjimatan tidak memberikan kesan kepada pelancaran kurikulum baharu pada tahun hadapan, selain kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan bahawa Belanjawan 2027 akan dirangka dengan lebih banyak langkah penjimatan susulan tekanan ekonomi global yang menjejaskan kedudukan fiskal negara, antara lain termasuk melibatkan KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketidaktentuan geopolitik dunia, termasuk rantaian ketegangan susulan serangan Amerika Syarikat dan sekutunya Israel ke atas Iran memberikan kesan kepada ekonomi global, sekali gus menuntut perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemat.

Sementara itu, mengenai pemberian baucar buku RM100 bagi pelajar sekolah menengah di bawah KPM dan penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA), yang diumumkan Perdana Menteri semasa merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 pada Jumaat lepas, Fadhlina berkata ia akan mula diedarkan sebaik sesi persekolahan kembali dibuka.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement