ADAT dan adab ialah dua unsur yang saling melengkapi dalam budaya Melayu. Adat mengatur sistem kehidupan masyarakat, manakala adab memperhalus perilaku individu. Tanpa adat, masyarakat akan kehilangan struktur dan tanpa adab, masyarakat akan kehilangan jiwa. Adat dan adab bukan sekadar untuk memelihara dan mempertahankan tradisi, tetapi juga memastikan kelangsungan tamadun Melayu yang berteraskan budi dan nilai.
Begitu jugalah dengan pemakaian kain samping dalam kalangan kaum lelaki terutamanya apabila menjelang musim perayaan. Pemakaian kain samping tidak boleh dipandang remeh. Ada sesuatu yang tersirat dalam busana Melayu cekak musang dan teluk belanga yang digandingkan dengan kain samping sebagai pelengkap pakaian.
Selain disebut dengan nama kain samping, ia juga dikenali sebagai kain pinggang, kain dagang dan kain pancung. Kain samping diperbuat daripada kain tenun, sutera, songket atau pelekat yang mempunyai pelbagai corak dan warna. Terdahulu nama asalnya dipanggil sebagai kain dagang kerana dipakai semasa mendayung sampan atau semasa berdagang sebagai kain selempang yang disangkut di bahu. Ia diikat dan dijadikan kain samping apabila sampai ke tempat yang dituju atau berjumpa seseorang sebagai tanda hormat.
Kain samping mempunyai “kepala kain”, iaitu ruang corak pada kain yang lain daripada corak keseluruhan kain samping dan dianggap sebagai bahagian kain yang paling cantik. Kebiasaannya “kepala kain” hendaklah berada di bahagian belakang tatkala memakainya. Hal ini sering menimbulkan persoalan, mengapakah bahagian yang paling cantik tidak berada di bahagian hadapan sebaliknya diletakkan di bahagian belakang?
Ia merupakan adab dalam budaya dan adat Melayu untuk menggelakkan kita daripada menunjukkan bahagian belakang dan punggung kepada orang lain maka, ia ditutup dengan bahagian kain samping yang paling cantik coraknya. Inilah simbolik berbahasa apabila kita membelakangkan orang lain, corak “kepala kain” tersebut memberi makna bahawa kita menunjukkan penghormatan kepada mereka.
Pemilihan corak dan warna kain samping juga penting dalam pemakaian bagi sesuatu majlis. Bagi majlis rasmi kerajaan atau adat istiadat diraja, kain samping yang dipakai mestilah berwarna hitam, mengandungi motif atau corak tradisional Melayu dan diperbuat daripada benang berwarna kuning emas. Kain samping jenis ini tidak sesuai untuk majlis tahlil atau ziarah kemangkatan dek kerana motif keceriaan pada corak dan fabriknya (Protokol Johor, 2024).
Lipatan kain samping pula mempunyai maksud dan falsafahnya yang tersendiri. Lipatan kain kanan di atas lipatan kain kiri sama seperti kedudukan dan pergerakan tangan ketika takbirratul ihram dalam solat. Kain samping tersebut juga hendaklah bersambung jahitannya dan tidak terbelah dua kerana simboliknya terhadap menjaga nafsu dan syahwat serta memelihara nilai adab. Seperti mana namanya kain samping, ia dipakai sebagai kain sampingan atau tambahan kepada pakaian asas (Azimin Daud, 2025). Malahan ia memberi makna yang lebih luas untuk menutup aib dan kehormatan si pemakai seandainya fabrik seluar yang dipakai melekap pada anggota badan.
Yang lebih menarik tentang pemakaian kain samping ini ialah tentang status sosial seseorang sekali gus menyantuni adat dan adab si pemakai. Pemakaian kain samping bagi lelaki bujang dinamakan sebagai ikatan teruna, yang dipakai dengan kadar kain samping di atas lutut. Jika kepala kain dipakai di bahagian hadapan, itu petanda si bujang sedang mencari jodoh. Kain samping yang dipakai labuh melepasi lutut membawa maksud si pemakai sudah berkahwin (Johan Iskandar Abdul Karim, 2020). Walau bagaimanapun pada zaman kesultanan Melayu Melaka, kelonggaran diberikan kepada hulubalang istana yang sudah berkahwin untuk memakai kain samping pada paras di atas lutut bagi memudahkan pertempuran dengan musuh.
Kain samping ikatan pancung pula dikhaskan bagi golongan raja dan kerabatnya manakala ikatan kembung pula bagi golongan pembesar istana atau mereka yang bergelar. Ikatan kain samping bagi golongan rakyat jelata ialah ikatan lingkup. Ikatan-ikatan yang berlainan ini melambangkan status sosial si pemakai selain etiket dan adab berpakaian.
Peredaran zaman dan dan senario semasa menyebabkan pemakaian kain samping mengalami perubahan apabila terciptanya kain samping “segera” yang terbelah dan mempunyai pelekat di bahagian pinggang. Hal ini sedikit sebanyak mengganggu falsafah pemakaiannya. Nilai dan etika pemakaian kain samping terabai sehingga seolah-olah hilang kehormatan dan peradaban Melayu.
Maka amatlah disarankan kepada tukang jahit atau pereka fesyen kontemporari agar menjaga kesusilaan dan asal-usul kain samping sebelum mencipta sesuatu inovasi kerana hal ini berkait rapat dengan adat dan adab bangsa Melayu yang bersopan, berbudi dan berakal. Tinggalkanlah seni warisan bangsa yang mempunyai nilai istimewa kepada legasi akan datang agar mereka faham tentang nilai dan sedar tentang ruang sejarah asal-usul bangsa.
* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.