KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri kini bukan sahaja menjadi perayaan keagamaan dan budaya yang penting bagi umat Islam, malah turut berkembang sebagai musim ekonomi utama setiap tahun.
Namun aspek komersialisasi yang tidak terkawal berpotensi menghakis nilai tradisi serta makna sebenar perayaan jika tidak diimbangi dengan kesedaran masyarakat dan pendekatan pemasaran yang lebih beretika.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof. Mohamad Fazli Sabri berkata, peningkatan aktiviti ekonomi ketika musim perayaan merupakan fenomena global yang berlaku dalam hampir semua budaya.
“Dalam mana-mana budaya atau agama, musim perayaan memang dikaitkan dengan peningkatan penggunaan atau seasonal consumption. Krismas di Barat, Tahun Baharu Cina atau Deepavali juga menyaksikan lonjakan perbelanjaan yang ketara.
"Aidilfitri bagaimanapun mempunyai dimensi nilai yang mendalam kerana ia disambut selepas sebulan umat Islam menjalani ibadah Ramadan yang menekankan kesederhanaan, kesabaran dan keinsafan diri.
“Perayaan ini sepatutnya menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, menunaikan silaturahim serta memupuk nilai kasih sayang dan kemurahan hati. Jika komersialisasi menjadi terlalu dominan, inti pati perayaan itu boleh tenggelam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bagaimana pengaruh media sosial mempercepatkan perubahan cara masyarakat meraikan Aidilfitri, khususnya dalam kalangan generasi muda. Budaya mempamerkan gaya hidup di platform digital mendorong fenomena fear of missing out (FOMO), serta kecenderungan menjadikan perayaan sebagai ruang untuk menunjukkan status sosial melalui pakaian, dekorasi rumah atau gaya sambutan.
“Apabila perayaan dilihat sebagai platform untuk mempamerkan gaya hidup, ia boleh mendorong overconsumption, tekanan sosial dan dalam sesetengah kes membawa kepada hutang,” jelasnya.
Dalam jangka panjang, beliau tidak menolak kemungkinan perubahan budaya ini boleh mempengaruhi cara generasi muda memahami makna sebenar Aidilfitri.
“Jika tidak diimbangi dengan pendidikan nilai, generasi muda mungkin melihat Aidilfitri lebih sebagai acara sosial atau gaya hidup, bukannya sebagai perayaan yang berakar pada nilai silaturahim, kemaafan dan ukhuwah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Psikologi Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), Prof. Madya Dr. Harris Shah Abd Hamid berkata, komersialisasi yang berlebihan juga boleh memberi kesan kepada psikologi serta kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, kecenderungan terhadap materialisme boleh mengurangkan kemanisan sebenar sesuatu perayaan kerana masyarakat lebih menumpukan kepada keseronokan berasaskan keinginan diri.
“Dalam psikologi, kita sebut sebagai eudaimonic happiness iaitu kegembiraan yang bermakna. Tetapi jika kita berlebihan dalam aspek perbelanjaan, makan minum, pakaian dan sebagainya, ia mungkin menebalkan keseronokan yang berasaskan egoistic hedonism,” katanya.
Beliau berkata, kempen pemasaran dan iklan yang giat dipromosikan di media sosial serta media massa sememangnya berorientasikan keuntungan, namun pengguna perlu lebih sedar terhadap pengaruh psikologi yang dibawa oleh strategi tersebut.
Menurutnya, antara kesan yang sering berlaku ialah fenomena perbandingan sosial atau upward comparison, iaitu kecenderungan seseorang membandingkan dirinya dengan individu yang lebih berada.
“Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang rasa serba kekurangan atau tidak cukup. Sedangkan dalam urusan dunia, kita digalakkan melihat mereka yang lebih susah supaya kita lebih bersyukur,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, iklan komersial yang berlebihan juga boleh mencetuskan fenomena FOMO apabila strategi pemasaran mewujudkan persepsi bahawa sambutan hari raya tidak lengkap tanpa mengikuti trend tertentu seperti hiasan rumah, pakaian baharu atau pelbagai juadah popular.
“Ada orang rasa seolah-olah tidak sah berhari raya kalau tidak ada lampu hiasan tertentu atau balang kuih yang sedang menjadi trend. FOMO yang dicipta oleh iklan-iklan ini sebenarnya perlu kita kawal dalam diri,” katanya.
Tegas Harris Shah, Aidilfitri sepatutnya diraikan sebagai hari kemenangan selepas Ramadan, iaitu hasil daripada usaha memperkukuh iman dan amal sepanjang bulan tersebut.
“Hasil daripada ibadah puasa ialah taqwa. Secara ringkasnya, kita buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Semangat taqwa itu sepatutnya berterusan walaupun selepas Ramadan,” katanya.
Sehubungan itu, kedua-dua pakar menegaskan usaha memelihara makna sebenar Aidilfitri memerlukan pendekatan kolektif daripada keluarga, institusi pendidikan, masyarakat serta industri.
Menurut Mohamad Fazli, ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai sebenar Aidilfitri kepada generasi muda, manakala peniaga dan pemasar pula perlu lebih bertanggungjawab dalam strategi promosi mereka.
Beliau mencadangkan supaya garis panduan pemasaran beretika bagi musim perayaan diperkukuhkan bagi memastikan promosi tidak melampaui batas sehingga menjejaskan nilai budaya dan agama.
Selain itu, pendidikan pengguna juga perlu diperkasakan agar masyarakat lebih sedar tentang kepentingan berbelanja secara berhemah.
“Kita tidak menolak kepentingan aktiviti ekonomi semasa musim perayaan kerana ia memberi manfaat kepada banyak sektor. Namun keseimbangan perlu dijaga supaya nilai utama Aidilfitri iaitu kasih sayang, kesederhanaan dan hubungan kekeluargaan tidak terpinggir,” katanya.
Harris Shah pula menambah, umat Islam disuruh berpuasa dan juga disuruh bergembira pada hari raya, namun kedua-duanya perlu dilakukan secara sederhana serta berpandukan sunnah.
“Kalau kita ikut sunnah, Insya-Allah kita tidak akan tergelincir. Kita akan dapat mengekalkan keseimbangan dalam beribadah dan juga dalam berhari raya,” katanya.
Katanya lagi, masyarakat juga boleh menilai semula beberapa tradisi atau budaya yang mungkin tidak selari dengan nilai agama agar keseimbangan dalam kehidupan dapat terus dipelihara.
“Ini penting bukan sahaja untuk kesejahteraan individu, tetapi juga kesejahteraan masyarakat dan negara secara keseluruhan,” ujarnya.