Skip to main content

Malaysia

Pengesahan umur buka akaun media sosial berkuat kuasa hari ini

[TB]_Pengesahan umur media sosial_SINAR
- Gambar hiasan/Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini mula menguatkuasakan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran dan pembukaan akaun media sosial sebagai langkah proaktif melindungi kanak-kanak bawah 16 tahun daripada ancaman siber.

Langkah itu dilaksanakan selaras dengan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang juga bermula hari ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menerusi peraturan baharu itu, individu berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka sebarang akaun media sosial manakala mereka yang ingin mendaftar diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur.

Keperluan itu tidak terhad kepada pendaftaran baharu, malah pemilik akaun sedia ada juga wajib melakukan pengesahan identiti bagi memastikan mereka kekal layak mengakses platform itu mengikut kriteria ditetapkan.

Pelaksanaan itu meletakkan Malaysia seiring dengan trend global seperti Australia dalam mengehadkan akses media sosial bagi melindungi golongan muda, selain mengikuti langkah Indonesia yang telah menguatkuasakan peraturan serupa pada 28 Mac lepas.

Pendekatan Malaysia bagaimanapun mempunyai kelebihan tersendiri kerana memanfaatkan perundangan khusus mengenai MyKad dan sistem MyDigital ID sebagai elemen keselamatan tambahan bagi memastikan pengesahan identiti yang lebih sahih dan selamat.

MCMC dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan penguatkuasaan kedua-dua kod itu bertujuan memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak selain mewajibkan penyedia platform digital bertindak lebih proaktif menangani kandungan berbahaya.

Kedua-dua kod berkenaan dibangunkan menerusi sesi libat urus mendalam serta rundingan awam bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri dan organisasi masyarakat sivil yang dijalankan sejak Februari lepas.

Di bawah CPC, penyedia platform diwajibkan menerapkan prinsip keselamatan melalui binaan (safety by design), termasuk mengehadkan fungsi yang berisiko mendedahkan kanak-kanak kepada ancaman eksploitasi siber, pemangsa digital (grooming) serta kandungan tidak bersesuaian.

RMC pula menuntut penyedia perkhidmatan melaksanakan penilaian risiko yang komprehensif, tadbir urus kandungan yang lebih ketat serta mekanisme pelabelan bagi kandungan yang telah dimanipulasi bagi mengekang ancaman penipuan dan berita palsu.

Kegagalan pemberi perkhidmatan mematuhi keperluan di bawah RMC boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda atau penalti kewangan sehingga RM10 juta.

Sebagai usaha mengekang penipuan dalam talian, iklan berbayar bagi barangan atau perkhidmatan kini hanya dibenarkan jika dimuat naik oleh pengiklan atau pengguna yang identitinya telah disahkan berdasarkan dokumen rasmi kerajaan.

MCMC turut mewajibkan penyedia platform menyesuaikan sistem algoritma, termasuk sistem cadangan kandungan bagi mengurangkan risiko pengguna terdedah kepada bahan memudaratkan seperti penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), kandungan lucah dan penipuan kewangan.

Menurut suruhanjaya itu, tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada semua pemberi perkhidmatan bagi memastikan proses integrasi sistem pengesahan umur berjalan teratur tanpa menjejaskan privasi pengguna.

ONSA dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Jan 2026 bertujuan memastikan penyedia platform digital memikul tanggungjawab lebih besar untuk mengesan, mencegah dan bertindak lebih pantas terhadap sebarang kandungan berbahaya dalam alam maya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement