KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur berpotensi untuk menyaingi destinasi konsert utama serantau seperti Singapura, namun penyelarasan lebuh kukuh dalam ekosistem hiburan secara langsung di negara ini diperlukan untuk menarik lebih banyak jelajah antarabangsa dan artis global.
Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal berkata, bandar raya ini mempunyai banyak elemen utama yang diperlukan untuk menjadi destinasi jelajah utama di Asia termasuk infrastruktur, peminat yang bersemangat dan lokasi strategik, bagaimanapun penambahbaikan dari segi penyelarasan, kesediaan venue dan sokongan industri tetap penting.
"Sebenarnya, Kuala Lumpur memiliki segala-galanya. Malah, mungkin lebih baik daripada beberapa bandar lain, tetapi yang kita perlukan sekarang ialah penyelarasan.
"Acara tidak boleh dijayakan oleh seorang individu sahaja. Semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan sesebuah persembahan dapat diadakan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran KL Headline Season 2026 di sini, malam tadi.
Paramananthan berkata, industri hiburan secara langsung di Malaysia perlu bekerjasama untuk memperkukuh persepsi antarabangsa terhadap Kuala Lumpur sebagai destinasi konsert yang diyakini.
"Kebanyakan artis antarabangsa dan pasukan pengurusan akan membuat carian tentang Kuala Lumpur menerusi Google sebelum membuat keputusan untuk mengadakan jelajah. Kadangkala, yang muncul dalam carian itu ialah cerita mengenai pembatalan, bantahan atau isu kelulusan (sesuatu konsert).
"Namun, di negara seperti Singapura, naratifnya berbeza. Mereka mempromosikan perkara positif dan meletakkan negara itu sebagai destinasi konsert," katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan bukan sekadar berkaitan kemudahan, kerana Kuala Lumpur sudah memiliki infrastruktur yang diperlukan untuk menganjurkan produksi berskala besar, walaupun beberapa venue memerlukan penambahbaikan untuk memenuhi jangkaan peminat dan pihak produksi.
"Peminat membayar tiket dengan harga yang mahal. Mereka mengharapkan tempat duduk yang lebih selesa, pandangan yang lebih jelas dan kemudahan yang lebih baik. Oleh itu, penyelenggaraan dan naik taraf venue amat penting," katanya.
Paramananthan berkata, ketersediaan venue adalah antara cabaran terbesar yang dihadapi penganjur konsert di negara ini, terutamanya apabila jelajah antarabangsa beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan merentasi pelbagai negara.
"Masalah kami di sebalik tabir ialah ketersediaan venue. Jelajah sudah ada tarikh tetap dan kadangkala kami tidak dapat mengubahnya kerana tiada venue," katanya dan menambah beberapa negara mengutamakan jelajah artis antarabangsa sebagai sebahagian daripada strategi ekonomi yang lebih luas.
Beliau berkata, industri hiburan secara langsung tidak seharusnya lagi dilihat sebagai hiburan semata-mata, sebaliknya konsert turut menjana limpahan ekonomi yang besar dalam sektor pelancongan, hospitaliti, peruncitan dan pengangkutan.
Malaysia telah menganjurkan lebih 400 konsert pada 2024, menjana lebih RM553 juta dalam impak pelancongan dan ekonomi, manakala bagi tahun ini, industri itu dijangka menyumbang hampir RM1.7 bilion kepada ekonomi negara, katanya.
Paramananthan berkata, peminat dari negara jiran termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Taiwan, Hong Kong dan Filipina semakin ramai datang ke Kuala Lumpur, khusus untuk menghadiri konsert, mencerminkan pengaruh ibu negara ini yang semakin meningkat dalam landskap hiburan secara langsung serantau.
Beliau berkata, KL Headline Season 2026 yang baru dilancarkan diwujudkan untuk meletakkan Kuala Lumpur secara kukuh dalam peta jelajah global dan menjadikan bandar raya ini sebagai ibu kota hiburan utama di Asia.
Pelancaran itu dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Inisiatif itu, yang dibangunkan oleh Live Nation Malaysia dengan kerjasama PR Worldwide, Tourism Malaysia dan CelcomDigi, dijangka membawa 25 persembahan muzik antarabangsa di enam venue utama sepanjang 2026, menarik kira-kira 500,000 peminat dari Malaysia dan seluruh rantau, dengan senarai artis termasuk nama besar seperti Post Malone, The Weeknd, BTS, Laufey dan LANY.
-- BERNAMA