KUALA LUMPUR: Kesihatan yang baik bagi ibu dan bayi wajar bermula dengan perancangan awal, pemeriksaan kesihatan serta amalan gaya hidup yang seimbang sepanjang tempoh kehamilan dan selepas melahirkan.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Sharmina Kamal Shamsul Kamal berkata adalah penting agar bakal ibu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu untuk mengenal pasti sebarang keadaan sedia ada seperti diabetes atau hipertensi.
“Memandangkan kadar diabetes dan hipertensi semakin meningkat dalam golongan muda di Malaysia, saringan prakehamilan kini menjadi satu keperluan. Keadaan kesihatan yang tidak didiagnosis atau tidak terkawal boleh menjejaskan ibu dan bayi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata memandangkan perkembangan tiub saraf bayi berlaku pada peringkat awal, pengambilan asid folik perlu dimulakan sebelum keputusan ujian kehamilan positif untuk memberikan perlindungan optimum kepada ibu dan bayi terhadap risiko kecacatan tiub saraf yang serius.
Setiap trimester membawa perkembangan yang unik, iaitu trimester pertama adalah fasa yang sangat sensitif kerana organ bayi sedang terbentuk, manakala trimester kedua dan ketiga janin mula membesar dan semakin matang, malah sudah mula memberikan tindak balas apabila mendengar suara atau merasai pergerakan ibu.
Dr Sharmina berkata aspek pemakanan sering dipandang remeh, dan jika ibu kekurangan nutrien penting, bayi mungkin terjejas, maka elakkan merokok dan alkohol, selain mengehadkan pengambilan kafein serta mengutamakan pemakanan seimbang yang kaya protein, sayuran hijau, bijirin penuh dan produk tenusu atau alternatif yang diperkaya.
“Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia, membuatkan ibu berasa sangat letih dan berisiko menjejaskan perkembangan bayi dalam kandungan, manakala kekurangan kalsium dan vitamin D boleh melemahkan tulang ibu semasa dan selepas kehamilan,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan antenatal kadangkala dianggap sebagai rutin biasa, namun ia jauh lebih penting kerana dapat membantu memastikan kehamilan berjalan lancar, mengesan masalah lebih awal, dan memastikan bayi membesar dengan sihat.
“Imbasan awal dilakukan untuk mengesahkan daya hidup janin (fetal viability) dan menentukan usia kehamilan dengan tepat. Kebanyakan wanita akan menjalani pemeriksaan bulanan sehingga minggu ke-28, melainkan pemantauan lebih rapi diperlukan.
“Keadaan seperti preeklampsia atau diabetes gestasi (kencing manis semasa hamil) sering kali dapat dikesan sebelum simptom menjadi lebih teruk.
“Pada setiap pemeriksaan, kami akan memantau bayi, uri, dan air ketuban bagi memastikan segalanya berada di landasan yang betul,” katanya.
Dr Sharmina berkata semasa tempoh perayaan, ibu masih berpeluang meraikan namun amalkan kesederhanaan utamakan hidangan seimbang, elakkan alkohol, memastikan makanan dimasak sempurna serta rehat yang cukupmengutamakan rehat, penghidratan dan tidur mencukupi, iaitu lapan hingga 10 jam sehari.
Beberapa jam pertama selepas kelahiran adalah saat yang sangat kritikal, pada ketika ini sentuhan kulit-ke-kulit boleh membantu menstabilkan paras gula dalam darah bayi, menyokong penyusuan susu ibu, dan menguatkan ikatan.
“Kira-kira 60 peratus hingga 80 peratus ibu mungkin merasa sebak atau sensitif emosi dalam dua minggu pertama selepas bersalin. Bagaimanapun, kesedihan yang berlarutan, memencilkan diri, atau simptom yang semakin teruk mungkin menandakan kemurungan postpartum dan memerlukan perhatian perubatan dengan segera.
Beliau turut menasihatkan ibu untuk mendapatkan pemeriksaan segera sekiranya mengalami kesakitan yang teruk, demam, luka lambat sembuh, atau terdapat cecair yang keluar berbau busuk.
“Semasa tempoh berpantang, khasiat adalah sangat penting. Protein, zat besi, dan cecair yang mencukupi menyokong penyembuhan dan penghasilan susu. Menyekat pengambilan air boleh meningkatkan risiko dehidrasi dan darah beku, di samping mengurangkan bekalan susu ibu,” katanya..
Beliau turut menekankan manfaat penyusuan awal kerana boleh memberikan perlindungan kepada bayi baru lahir, dan pada masa yang sama, kebersihan tangan dan pengurangan sentuhan terlalu rapat dengan bayi juga penting untuk mengurangkan risiko jangkitan, sambil mengeratkan hunungan ibu ndna anak. .
“Pilihan tepat, rawatan perubatan, dan sokongan keluarga adalah kunci untuk ibu menikmati pengalaman ini dan memastikan permulaan hidup yang sihat bagi bayi,” katanya.
-- BERNAMA