Skip to main content

Malaysia

Bharatanatyam: Antara seni dan saintifik

bharatanatyam
Menurut Kaithiri Ramayah, setiap gerakan dalam Bharatanatyam memerlukan ketepatan dan fokus yang tinggi, selain latihan berterusan bagi memastikan keseimbangan antara tubuh dan minda. - Gambar/ Astro AWANI

HARI ini masyarakat India di seluruh negara menyambut Tahun Baharu dan setiap kali Puthandu, pelbagai elemen kebudayaan diketengahkan sebagai simbol permulaan baharu, daripada adat resam dan makanan tradisi hinggalah kepada seni persembahan yang terus menjadi nadi warisan masyarakat India. 

Antara yang kekal mendapat tempat ialah Bharatanatyam, tarian klasik yang bukan sahaja mencerminkan keindahan tradisi, malah melambangkan kesinambungan budaya merentas generasi. 

Di sebalik kehalusan gerak tari dan ekspresi yang memukau, Bharatanatyam turut menonjolkan elemen saintifik yang menitikberatkan kawalan pergerakan, imbangan serta koordinasi tubuh yang tinggi. 

Menurut guru tarian, Dr Kaithiri Ramayah, setiap gerakan dalam Bharatanatyam memerlukan ketepatan dan fokus yang tinggi, selain latihan berterusan bagi memastikan keseimbangan antara tubuh dan minda. 

"Dalam Bharatanatyam, setiap pergerakan perlu dilakukan dengan sangat tepat dan bukan sekadar menghafal langkah. Penari perlu memahami maksud di sebalik setiap gerakan. 

"Sebagai contoh, posisi aramandi yang menjadi asas dalam Bharatanatyam ialah kedudukan separa duduk dengan lutut dibuka ke luar membentuk segi tiga, manakala tulang belakang perlu kekal tegak. 

"Posisi ini penting bagi memastikan keseimbangan, kestabilan serta garis pergerakan yang kemas. Jika sudut segi tiga itu tersasar walaupun sedikit, bentuk aramandi tidak akan terhasil dengan sempurna," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Nibong Tebal, pada Selasa. 

Tambah Kaithiri lagi, penari perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kedudukan kepala, pergerakan mata hingga ke hujung jari bagi memastikan setiap gerakan tampak realistik, indah dan tersusun. 

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan latihan yang konsisten amat penting dalam menguasai tarian tersebut. 

Katanya, latihan berterusan bukan sahaja membantu mengawal pergerakan tubuh dengan lebih baik, malah turut menyumbang kepada keseimbangan dari segi mental dan emosi. 

"Melalui latihan yang konsisten, seseorang penari akan menjadi lebih fokus, tenang serta peka terhadap diri sendiri. Ia bukan sahaja meningkatkan kemahiran tarian, tetapi juga memberi kesan positif kepada kesejahteraan mental dan emosi. 

"Sebab itu Bharatanatyam bukan sekadar seni persembahan, tetapi satu bentuk disiplin yang membentuk diri secara menyeluruh," jelasnya. 

 

 

Menurut Kaithiri, kerjayanya dalam bidang perubatan dan seni tarian Bharatanatyam saling melengkapi, malah gabungan kedua-dua bidang itu membantu membentuk keseimbangan dari segi fizikal, mental dan emosi. 

Bergurukan Jayagowri Krishnasamy dari Jayagowri Natyalaya Dance Academy , Kaithiri mula mempelajari tarian itu sejak usianya enam tahun. 

Menurutnya, dalam konteks Bharatanatyam, penghormatan kepada guru bukan sekadar adat, tetapi satu prinsip penting yang wajib terpelihara. 

"Oleh itu, setiap pelajar diajar untuk menunjukkan rasa hormat yang tinggi, bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi juga melalui perbuatan," ujarnya. 

Sementara itu, bagi pelajar Bharatanatyam, Sumirrta S Baskran, penglibatan dalam seni tarian ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada warisan budaya, malah membantu membina keyakinan diri serta disiplin sejak usia muda. 

"Saya mula belajar Bharatanatyam sejak kecil dan pada mulanya agak sukar kerana perlu fokus kepada banyak perkara dalam satu masa. 

"Dalam Bharatanatyam, sikap hormat kepada guru merupakan antara aspek penting yang banyak membantu saya dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam pembelajaran di luar. 

"Bila kita dah biasa berdisiplin, fokus dan menerima teguran dengan terbuka semasa latihan, perkara itu terbawa ke sekolah atau universiti," kata graduan Sarjana Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Must Watch Video