KUALA LUMPUR: Polis membongkar sebuah gudang yang mahu dijadikan makmal haram memproses dadah di kawasan Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya, dekat sini, dalam serbuan baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Oktober 2024 dan menggunakan identiti palsu bagi menyewa gudang berkenaan dengan kadar sewaan sekitar RM6,500 sebulan.
Beliau yakin makmal berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa yang cuba menjadikan Malaysia sebagai lokasi memproses dadah untuk pasaran luar negara.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai makmal haram untuk memproses dadah sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.
"Bagaimanapun, kita percaya makmal dadah haram itu masih dalam peringkat awal pembinaan dan ditinggalkan sindiket berkenaan pada akhir tahun lalu.
"Kita percaya tindakan itu diambil selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan beberapa serbuan yang berjaya membongkar makmal dadah haram di beberapa lokasi termasuk di sekitar Lembah Klang, Ipoh di Perak serta Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini, pada Isnin.
Dalam serbuan pada 2 Mac itu, Hussein nerkata, polis merampas 214 tong mengandungi cecair disyaki bahan kimia, tiga tong mengandungi serbuk disyaki bahan kimia serta lima botol berisi serbuk disyaki bahan kimia.
"Turut dirampas serbuk disyaki bahan kimia seberat 0.94 kilogram, selain lima unit mesin dan tiga balang kaca yang dipercayai digunakan dalam proses penghasilan dadah,” katanya.
Menurut Hussein, sekiranya makmal itu berjaya disiapkan dan beroperasi sepenuhnya, ia berupaya memproses beberapa jenis dadah sintetik termasuk methamphetamine, ganja sintetik serta etomidate.
Beliau berkata, berdasarkan saiz dan peralatan yang ditemui, makmal haram itu berpotensi beroperasi pada skala besar bagi menghasilkan dadah dalam jumlah yang banyak.