KUALA LUMPUR: Seorang penyelia perkhidmatan akaun di sebuah syarikat perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan di ibu negara direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kira-kira RM4 juta.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Putrajaya, Ezrene Zakariah, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan suspek hingga Sabtu ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam, Selasa lalu, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara tahun 2023 hingga tahun lalu dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi pelbagai tuntutan.
Antara tuntutan terbabit termasuk perjalanan dan pengangkutan, yuran perakaunan, pembelian genset dan diesel, pembayaran kad kredit, tuntutan keraian, perbelanjaan ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE), tuntutan tunai runcit (petty cash), tuntutan belanja yang tidak dikenal pasti, kerja-kerja landskap serta pembayaran gaji.
Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.