KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah sebagai balasan menyerahkan tanah milik bekas pekerja-pekerja sebuah ladang di Selangor bagi tujuan pembangunan komersial.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 12.20 tengah hari, Rabu ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga tahun lalu apabila menyerahkan tanah milik 136 pekerja ladang tanpa pengetahuan dan kebenaran pekerja-pekerja tersebut.
"Suspek yang merupakan pemegang amanah ke atas tanah seluas lapan ekar itu dipercayai menerima wang rasuah beberapa kali dalam tempoh lima tahun dan dia juga turut menerima wang kira-kira RM5 juta hasil pengambilan tanah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Khamis bagi permohonan reman.