HULU SELANGOR: Laporan bedah siasat ke atas Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa, di sini, bulan lalu, dijangka mengambil sedikit masa untuk disiapkan berikutan keadaan jasad mangsa yang hanya ditemukan selepas tiga hari.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Hussain, berkata berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Rabu.
Pada 26 Mei lalu, mangsa ditemukan meninggal dunia selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat di Bukit Changkat Asa.
Mangsa ditemukan kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 11.58 pagi.
Remaja itu dipercayai tersesat ketika menuruni bukit bersama ahli keluarganya pada jam 10.50 pagi, 23 Mei lalu.
Difahamkan, mangsa berjalan bersendirian untuk tiba lebih awal di kaki bukit kerana berasa panas dan penat sebelum dilaporkan hilang.
Operasi SAR selama empat hari itu membabitkan 114 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung serta sukarelawan.