PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan negara mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mendepani cabaran ekonomi global yang semakin dipacu kecerdasan buatan (AI), automasi dan digitalisasi industri.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata TVET kini menjadi antara agenda strategik negara dan bukan lagi sekadar sistem latihan kemahiran semata-mata.
"TVET bukan sekadar sistem latihan kemahiran, tetapi asas kepada ketahanan ekonomi, kekuatan industri dan masa depan daya saing negara," katanya dalam kenyataan bersempena Sambutan Hari TVET Negara 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata TVET KESUMA akan terus memperkukuh pembangunan bakat negara melalui latihan berpacukan industri yang disokong oleh penglibatan aktif Badan Peneraju Industri (ILB) dan Future Skills Talent Council (FSTC).
Ramanan berkata kadar kebolehpasaran graduan institusi latihan di bawah KESUMA mencapai 95.5 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, dengan 85.1 peratus graduan bekerja dalam bidang berkaitan latihan yang diikuti.
"Kadar kepuasan majikan mencecah 97.2 peratus sekali gus membuktikan kualiti latihan dan kesepadanan tinggi antara program yang ditawarkan dengan keperluan sebenar industri," katanya.
Beliau berkata bagi pengambilan UP_TVET Perdana Julai 2026 sahaja, lebih 20,000 tempat pengajian ditawarkan melibatkan 315 institusi TVET di seluruh negara, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada golongan muda mendapatkan latihan kemahiran berkualiti.
Ramanan berkata Jabatan Tenaga Manusia (JTM) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem TVET menerusi rangkaian 33 kampus ADTEC termasuk Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) dan Proton Institute serta kampus satelit di Senai dan Anjung Muadzam.
Katanya latihan TVET kini meliputi 11 kluster utama termasuk pembuatan, elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kimpalan, automasi, pengangkutan dan tenaga elektrik, selain bidang teknologi baharu seperti semikonduktor, robotik, keselamatan siber, aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan teknologi hidrogen.
Menurut beliau, kerjasama strategik dengan syarikat industri termasuk Proton, Petronas, Petros, Malaysia Aviation Group (MAG), Infineon Technologies, Huawei Technologies (Malaysia) dan Micron Memory Malaysia turut memperkukuh kualiti latihan melalui pemindahan teknologi, latihan industri dan peluang kerjaya graduan.
Ramanan turut menekankan penubuhan Akademi Semikonduktor KESUMA (ASK) di JMTI, Pulau Pinang sebagai langkah memperluas latihan dalam bidang semikonduktor dan teknologi masa depan.
Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) terus memperkukuh sistem TVET menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), penarafan Malaysia TVET Rating (MTR) serta pelaksanaan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) bagi memperluas akses latihan, reskilling dan upskilling.
Katanya pendekatan TVET Inklusif MADANI (TiM) memastikan akses kepada latihan kemahiran dapat dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40, orang kurang upaya (OKU), orang Asli, wanita, belia tercicir dan komuniti luar bandar.
Beliau berkata usaha itu turut diperkukuh menerusi Kampus Nibong Tebal yang mesra OKU sebagai contoh komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan TVET lebih inklusif.
Selain itu, Ramanan berkata kerajaan sedang memperkukuh reformasi Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) bagi meningkatkan tadbir urus TVET, memperluas laluan pembelajaran fleksibel dan mengukuhkan penglibatan industri dalam pembangunan bakat negara.
-- BERNAMA