KUALA LUMPUR: Kegiatan kumpulan samun bersenjata di sekitar ibu negara yang didalangi seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) tumpas dengan penahanan enam lelaki, Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati kumpulan terbabit menyamar sebagai polis dan menyasarkan kediaman warga asing di sekitar Kepong, dengan anggaran kerugian kira-kira RM4.4 juta.
Menurutnya, anggota polis terbabit yang dipercayai menjadi koordinator kumpulan itu pernah digantung tugas sebelum ini atas kesalahan dadah.
Tambah Fadil, antara barangan yang dilarikan termasuk tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard, Rolls-Royce dan Bentley, selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,000, AS$1,200, pelbagai barangan kemas serta dua jongkong emas.
Menurutnya, polis menerima tiga laporan daripada mangsa terdiri daripada dua warga China dan seorang warga Indonesia berusia 29 hingga 52 tahun.
"Siasatan mendapati kumpulan ini menyasarkan mangsa tertentu yang dikenal pasti memiliki harta bernilai tinggi sebelum melakukan samun," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada Rabu.
Fadil berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 5.30 pagi hingga 7.30 pagi, Ahad lalu apabila suspek bertindak memecah masuk tiga kediaman mangsa di kawasan Kepong.
"Dalam kejadian itu, suspek yang berjumlah enam individu dan tidak dikenali telah menyamar sebagai pegawai polis sebelum melakukan samun.
"Salah seorang suspek turut mengacukan objek menyerupai pistol bagi menakutkan mangsa.
"Selain pegawai polis, dua lagi suspek bekerja sebagai pengawal pengawal peribadi dan dipercayai menyalahgunakan lesen senjata api bagi tujuan jenayah," ujarnya.
Beliau memberitahu, polis merampas semula semua kenderaan yang disamun selain merampas dua pucuk pistol, lima kenderaan, wang tunai, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit serta dua pas keselamatan.
Kata Fadil, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis amphetamine.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.