KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) giat memastikan keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan di negara ini dalam mendepani kesan krisis tenaga global terhadap rantaian bekalan dunia, susulan konflik Asia Barat.
Usaha itu dilaksanakan melalui pengukuhan stok penimbal bagi item kritikal, selain mempelbagaikan sumber bekalan serta pemantauan rantaian bekalan secara berterusan bersama pihak industri.
Langkah itu menurut KKM dilaksanakan bagi membolehkan sebarang risiko gangguan dikenal pasti lebih awal dan ditangani secara bersasar.
KKM memaklumkan, pengurusan bekalan turut dilaksanakan secara berhemah melalui pengagihan berasaskan keperluan klinikal dan penggunaan secara rasional.
"Selain itu, pelan rawatan klinikal alternatif turut disediakan, di samping memudah cara proses regulatori bagi memastikan akses berterusan kepada ubat-ubatan," menurut kenyataan KKM di sini pada Khamis.
Menurut KKM lagi, antara langkah lain yang diambil termasuk pelaksanaan Laluan Akses Khas (Special Access Pathway), pengaktifan pelan gerak balas kecemasan, penetapan item kawalan serta perluasan penggunaan e-Labelling bagi peranti perubatan.
Kenyataan itu turut menjelaskan krisis tenaga global ketika ini memberi kesan kepada rantaian bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan, khususnya produk import berisiko tinggi.
"Situasi ini menjejaskan penghantaran serta kestabilan akses kepada beberapa peranti perubatan kritikal, selain memberi tekanan kepada pembekal dalam memenuhi obligasi kontrak," kata kenyataan itu.
Dalam jangka sederhana dan panjang, KKM memaklumkan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh daya tahan bekalan, termasuk peralihan penggunaan bahan resin kepada polimer serta pelaksanaan sistem Unique Device Identification (UDI).
"Bagi sektor farmaseutikal pula, pembangunan dasar keterjaminan bekalan ubat melalui inisiatif MyMedSecure, pengukuhan pengeluaran tempatan, pendigitalan rantaian bekalan serta pewujudan stok penimbal strategik nasional turut dirancang," ujarnya.
KKM menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan tidak terjejas, meskipun berdepan cabaran global yang semakin kompleks.