PUTRAJAYA: Pelaksanaan aturan kerja fleksibel (AKF) oleh sektor swasta perlu dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan berasaskan garis panduan yang jelas, selaras dengan peruntukan Akta Kerja 1955 khususnya (Seksyen 60P dan 60Q).
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan seksyen itu antara lain memberi hak kepada pekerja untuk memohon AKF dan mewajibkan majikan memberikan maklum balas bertulis dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurut KESUMA, AKF tidak hanya terhad kepada bekerja dari rumah (BDR) malah merangkumi bentuk flesibiliti lain seperti model kerja hibrid (gabungan kerja di pejabat dan di rumah), waktu kerja anjal dan susunan kerja fleksibel (minggu kerja mampat, giliran dan kerja berasaskan hasil.
“KESUMA ingin menegaskan bahawa majikan tidak boleh mengambil tindakan seperti pemotongan gaji atau pengurangan faedah terhadap pekerja yang melaksanakan BDR, kecuali terdapat persetujuan baharu yang melibatkan perubahan keseluruhan waktu kerja.
“Jaminan ini penting bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja terus dilindungi serta memberi keyakinan kepada tenaga kerja untuk menyesuaikan diri dengan pengaturan kerja yang lebih fleksibel,” kata kementerian itu.
Hasil dapatan terkini TalentCorp menunjukkan sejak 2023 sehingga kini lebih daripada 3,000 organisasi telah melaksanakan AKF yang memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pekerja.
“Sebanyak 62 peratus majikan melaporkan peningkatan produktiviti apabila AKF dilaksanakan secara berstruktur manakala 70 peratus pekerja mencatatkan peningkatan kepuasan kerja hasil fleksibiliti masa dan lokasi.
“Lebih 90 peratus organisasi melaporkan peningkatan penglibatan pekerja serta penurunan kadar keluar masuk (turnover) pekerja antara 15 peratus hingga 20 peratus,” kata kementerian itu.
Menurut KESUMA, dapatan berkenaan membuktikan bahawa pelaksanaan AKF bukan sahaja menyokong kesinambungan operasi organisasi dalam situasi mencabar, malah berupaya meningkatkan produktiviti, memperkukuh keseimbangan kehidupan bekerja serta menyumbang kepada pengekalan bakat dalam pasaran buruh negara.
Namun begitu, kementerian tersebut turut mengambil serius isu kesejahteraan psikososial yang mungkin timbul susulan pelaksanaan AKF dan BDR antaranya risiko tekanan, ketidakseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi dan pengasingan sosial serta cabaran komunikasi.
Sehubungan itu, KESUMA menggesa majikan untuk memastikan pelaksanaan AKF disokong dengan pengurusan kerja yang jelas, komunikasi berempati, waktu kerja yang munasabah serta penyediaan sokongan kesejahteraan mental seperti akses kepada kaunseling.
-- BERNAMA