Skip to main content

Malaysia

Dua individu ganggu ucapan Azam Baki, diiring keluar petugas keselamatan

protes azam baki
Salah seorang individu terlibat diiring keluar petugas keselamatan. -Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Dua individu bertindak mengganggu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, ketika beliau sedang menyampaikan ucapan dalam sebuah program, di sini, petang tadi.

Insiden itu berlaku kira-kira enam minit selepas ucapan bermula pada Program Wacana Ilmiah Perdana, apabila seorang daripada individu terbabit cuba menghampiri pentas tempat Azam berucap.

Tidak lama kemudian, seorang lagi individu muncul dari arah belakang, dengan salah seorang daripada mereka dilihat membawa sepanduk yang menggesa penahanan Azam, dipercayai berkaitan isu pemilikan saham yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

Bagaimanapun, kedua-dua individu berkenaan segera diiring keluar oleh petugas keselamatan, dengan gangguan tersebut hanya berlangsung selama beberapa saat.

Azam dilihat tidak terjejas dengan insiden itu dan meneruskan ucapannya yang menyentuh mengenai integriti serta tadbir urus baik.

Program berkenaan dianjurkan secara bersama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asia e University dan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Dalam perkembangan berkaitan, satu kumpulan yang terdiri daripada tiga individu, dengan salah seorang daripadanya dilihat memakai baju sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Mandiri, turut berada di lokasi kejadian.

Menerusi hantaran di akaun media sosial Mandiri, kumpulan itu memaklumkan bahawa dua individu yang melakukan protes tersebut ialah Hamdin Nordin, yang juga presiden Liga Rakyat Demokratik, serta seorang lagi individu dikenali sebagai Ahsanul Akmal.

Dalam kenyataan itu, Mandiri mendakwa kedua-dua individu berkenaan telah ditahan dan menggesa supaya mereka dibebaskan segera.

“Khabarnya (mereka) telah ditahan,kami gesa mereka dibebaskan segera,” kata kumpulan itu.

Sementara itu, Tan Sri Azam ketika ditemui media selepas program tersebut enggan mengulas lanjut.

“Saya ada mesyuarat,” katanya ringkas.

Must Watch Video