Skip to main content

Sukan

Jawatan presiden kehormat tidak dimasukkan dalam cadangan statut FAM - AFC

KUALA LUMPUR, 1 Jun -- Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John bercakap pada sidang media di Gravybaby Bangsar hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Windsor berkata pengerusi Kongres Luar Biasa FAM akan diputuskan oleh kongres itu sendiri. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengambil pendekatan untuk tidak memasukkan jawatan presiden kehormat dalam cadangan statut 2026 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John berkata jawatan berkenaan tidak lagi relevan dalam tadbir urus bola sepak moden dan tidak diamalkan oleh badan induk bola sepak utama, termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Dahulu ada dan ia popular, FIFA dan AFC pun ada, namun sekarang ini dalam bola sepak moden, statut sudah berubah,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Cadangan itu adalah sebahagian daripada 94 artikel yang disyorkan dalam statut FAM 2026 yang akan dibentangkan oleh AFC pada Kongres Luar Biasa FAM, Khamis ini.

Presiden kehormat FAM ketika ini disandang oleh bekas presidennya Tan Sri Hamidin Mohd Amin, yang dilantik pada kongres luar biasa tahun lepas.

Windsor turut menyentuh mengenai cadangan pembaharuan yang lebih menyeluruh melibatkan rombakan besar jawatankuasa tetap, sambil menambah bahawa kepimpinan jawatankuasa perlu berdasarkan kepakaran dan bukannya perwakilan jawatankuasa eksekutif.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata AFC mencadangkan supaya bidang utama seperti pengurusan stadium, keselamatan, integriti, pengadil dan jawatankuasa perubatan dipengerusikan oleh pakar dalam bidang masing-masing.

Dalam pada itu, Windsor berkata pengerusi Kongres Luar Biasa FAM akan diputuskan oleh kongres itu sendiri.

Beliau berkata pada kongres luar biasa berkenaan, pengerusi boleh dicalonkan daripada mana-mana badan bola sepak yang berkaitan, termasuk FIFA atau AFC. 

Pada Januari lepas, kesemua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 telah meletakkan jawatan mereka secara kolektif dan sukarela.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan atau kedudukan peribadi, selain dilihat sebagai langkah berhemah dan berprinsip susulan situasi semasa yang mendapat perhatian umum berhubung isu pemain warisan serta bagi menjaga integriti FAM.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement