WHATSAPP dilapor mula menguji pelan langganan premium baharu, yang digelar “WhatsApp Plus”, bagi menawarkan ciri penyesuaian tambahan kepada sebahagian pengguna Android terpilih.
Pelan berkenaan kini diuji secara berperingkat dalam kalangan pengguna WhatsApp Android Beta, dengan ciri tambahan termasuk akses kepada pelekat eksklusif dengan animasi overlay serta pilihan penyesuaian tema aplikasi menggunakan 18 warna baharu dan 14 ikon alternatif.
Pengguna pelan premium itu juga dilaporkan boleh menyemat sehingga 20 perbualan, berbanding hanya tiga pada versi percuma, selain menikmati 10 nada dering eksklusif serta tetapan pukal untuk notifikasi kumpulan.
Dari segi keselamatan, WhatsApp menegaskan bahawa tiada perubahan dilakukan terhadap fungsi asas aplikasi, dengan perlindungan penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption, E2EE) kekal digunakan bagi semua mesej dan panggilan suara.
Harga langganan bulanan pelan itu dilaporkan bermula sekitar €2.49 (kira-kira RM10.45) di Eropah, PKR 229 (kira-kira RM3.65) di Pakistan, dan MXN 29 (kira-kira RM6.35) di Mexico, berdasarkan kadar pertukaran semasa.
Pengenalan pelan berbayar ini dilihat sebagai usaha WhatsApp untuk menawarkan lebih banyak pilihan penyesuaian kepada pengguna tanpa menjejaskan akses percuma kepada fungsi asas aplikasi berkenaan.
Buat masa ini, sokongan untuk pengguna peranti iOS dilaporkan masih belum tersedia dan dijangka menyusul pada peringkat seterusnya.