APLIKASI pemesejan popular, WhatsApp dilapor membangunkan ciri baharu yang membolehkan pentadbir menetapkan mesej alu-aluan automatik bagi menyambut kemasukan ahli baharu dalam sesebuah kumpulan.
Pengenalan ciri itu dijangka mengurangkan beban pentadbir yang sebelum ini perlu memberi ucapan alu-aluan secara manual setiap kali menerima ahli baharu, lapor Amanz.
Mesej alu-aluan itu bertujuan membantu ahli baharu memahami tujuan penubuhan kumpulan, peraturan komuniti serta konteks perbualan dengan lebih pantas.
Bagi memastikan keseragaman, hanya satu mesej alu-aluan boleh digunakan bagi setiap kumpulan, walaupun ia mempunyai lebih daripada seorang pentadbir.
Tetapan itu bersifat pilihan dan tidak diaktifkan secara automatik, di mana pentadbir perlu menghidupkannya melalui tetapan kebenaran kumpulan.
Ciri kawalan pentadbir ini dilaporkan masih dalam fasa pembangunan dalaman oleh syarikat induk Meta dan belum ditawarkan kepada pengguna versi beta.
Sebelum ini, WhatsApp turut memperkenalkan fungsi perkongsian sejarah perbualan yang memaparkan antara 25 hingga 100 mesej terdahulu dalam tempoh 14 hari terakhir bagi membantu ahli baharu mengikuti perbualan semasa.
Seperti mesej lain, semua hantaran alu-aluan automatik dan perkongsian sejarah perbualan ini kekal dilindungi di bawah penyulitan hujung ke hujung (E2EE) bagi menjamin privasi pengguna.