PERKHIDMATAN penjanaan muzik berasaskan kecerdasan buatan (AI) popular, Suno, melancarkan versi terbaharu Suno V5.5 yang membolehkan pengguna menjana lagu menggunakan suara mereka sendiri.
Ciri yang dinamakan sebagai "Voices" itu merupakan antara fungsi yang paling dinanti-nantikan oleh komuniti kreatif sejak sekian lama bagi memberikan sentuhan peribadi dalam setiap penghasilan karya digital, lapor Amanz.
Melalui kemas kini itu, pengguna hanya perlu merakamkan suara masing-masing sebelum sistem AI melakukan proses penjanaan muzik dan lagu yang diselaraskan dengan vokal asli tersebut.
Suno dalam satu kenyataan berkata, penggunaan ciri suara berkenaan dihadkan kepada pemilik asal sahaja bagi tujuan keselamatan dan tidak ditawarkan kepada pengguna lain.
"Ciri ini memberikan dimensi baharu dalam penghasilan muzik yang lebih realistik mengikut identiti vokal individu," menurut kenyataan itu.
Buat masa ini, fungsi "Voices" hanya ditawarkan kepada pengguna pelan berbayar sahaja bagi memastikan kualiti penjanaan berada pada tahap optimum.
Selain itu, Suno V5.5 turut memperkenalkan ciri "My Taste" yang berfungsi mengenal pasti citarasa muzik pengguna bagi mengoptimumkan cadangan penjanaan lagu yang lebih tepat dan diperibadikan.
Penawaran teknologi ini dijangka akan mengubah landskap industri muzik digital dengan membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan lagu berkualiti tinggi tanpa memerlukan kepakaran teknikal yang mendalam.
Sebelum ini, Suno telah mencetuskan revolusi dalam dunia AI generatif apabila berjaya menghasilkan gubahan muzik yang kompleks merangkumi pelbagai genre hanya melalui arahan teks ringkas.