JAKARTA: Indonesia sedang berusaha untuk memperkukuh rangkaian pengangkutan awam massa bandar dalam usaha mengurangkan beban subsidi bahan api tahunan negara yang mencecah sekitar Rp300 trilion (RM79 bilion), di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kos pengangkutan orang awam.
Ketua Pengarah Pengangkutan Darat Kementerian Pengangkutan Aan Suhanan berkata sektor berkenaan menggunakan kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan subsidi bahan api kerajaan, manakala kos pengangkutan pula menelan sehingga 30 hingga 40 peratus daripada pendapatan isi rumah.
"Ketidakseimbangan ini menyumbang kepada masa perjalanan yang lebih lama, kerugian ekonomi akibat kesesakan lalu lintas, pencemaran udara, serta kesukaran untuk mendapatkan akses kepada pendidikan dan pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagi menangani isu berkenaan, Aan berkata kerajaan meneruskan usaha membangunkan sistem Pengangkutan Awam Massa Bandar (AUMP) di 20 bandar utama di bawah Pelan Pembangunan Jangka Sederhana Nasional (RPJMN) 2025-2029 Indonesia.
Beliau berkata program itu bertujuan untuk memendekkan masa perjalanan, meningkatkan kebolehcapaian dan mengoptimumkan peranan kawasan bandar sebagai pusat pertumbuhan ekonomi.
"Pembangunan AUMP memerlukan perancangan yang bersepadu, kerjasama pembiayaan antara kerajaan pusat dan wilayah, serta tadbir urus yang mantap. Ia diharapkan dapat mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih mampan, saksama dan cekap," katanya.
Aan berkata kementerian itu juga menyokong usaha digitalisasi perkhidmatan pengangkutan wilayah melalui beberapa platform dan aplikasi bertujuan membantu pengendali meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memantau piawaian operasi.
-- BERNAMA