Skip to main content

Teknologi

Seedance 2.0 mula disekat daripada jana video langgar hak cipta selepas kecaman global

Seedance-2.0
Seedance 2.0 menjadi tular apabila pengguna mula berkongsi klip realistik yang dihasilkan menerusi prompt ringkas. -Foto Amanz

BYTEDANCE mengambil langkah menyekat kemampuan AI video generatif Seedance 2.0 daripada menjana kandungan yang melanggar harta intelek, hanya beberapa hari selepas ia tular dan mencetuskan kecaman daripada studio Hollywood, kesatuan pekerja serta kerajaan Jepun.

Langkah itu diambil susulan aduan bahawa Seedance 2.0 membenarkan penciptaan video menggunakan pelbagai watak milik syarikat hiburan dunia tanpa kebenaran.

Seedance 2.0 menjadi tular apabila pengguna mula berkongsi klip realistik memaparkan selebriti seperti Tom Cruise dan Brad Pitt bertarung, serta watak seperti Spider-Man, Darth Vader, Ultraman dan Detective Conan muncul dalam adegan baharu yang dihasilkan menerusi prompt ringkas.

Fenomena itu mencetuskan kebimbangan serius dalam industri hiburan, dan mendorong tindakan pantas daripada badan seperti Motion Picture Association (MPA) yang menuntut ByteDance menghentikan segera aktiviti pelanggaran hak cipta tersebut.

SAG-AFTRA turut menggambarkan penggunaan suara dan rupa ahli mereka oleh Seedance 2.0 sebagai pencerobohan terang-terangan.

Disney pula menjadi antara syarikat pertama bertindak tegas apabila menghantar surat cease-and-desist kepada ByteDance, menuduh syarikat China itu menggunakan pustaka watak miliknya — termasuk Star Wars, Marvel dan Pixar — seolah-olah ia bahan awam percuma.

Menurut laporan awal oleh Deadline dan Axios, Disney menegaskan bahawa Seedance 2.0 mengandungi pustaka cetak rompak aset miliknya dan memberi amaran mengenai tindakan lanjut jika penggunaan tanpa izin itu berterusan.

Reaksi antarabangsa tidak terhenti di Hollywood. Kabinet Jepun turut memulakan siasatan rasmi terhadap ByteDance selepas munculnya video AI menggunakan watak manga dan anime popular.

Menteri AI Jepun, Kimi Onoda, menegaskan negara itu tidak boleh berdiam diri apabila kandungan digunakan tanpa kebenaran pemilik hak.

ByteDance melalui anak syarikat Jepunnya memaklumkan bahawa mereka sedang mengambil tindakan susulan isu tersebut.

Mengulas perkembangan itu, ByteDance berkata mereka menghormati hak harta intelek dan kini sedang memperketatkan sistem perlindungan dalam Seedance 2.0 bagi menghalang penyalahgunaan, sama seperti langkah yang diambil OpenAI selepas Sora dikritik pada 2025 kerana kebolehan menjana kandungan IP tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, tidak seperti OpenAI yang kemudian menandatangani perjanjian pelesenan bernilai AS$1 bilion dengan Disney, ByteDance setakat ini belum mengumumkan sebarang perjanjian pelesenan rasmi bagi Seedance 2.0.

Seedance 2.0 ketika ini hanya boleh diakses melalui aplikasi Doubao dan Dreamina di China.

Masih belum dapat dipastikan sama ada versi global akan dikemas kini dengan ciri sekatan baharu atau pelesenan rasmi jika dilancarkan kelak. -Amanz

Must Watch Video