PASUKAN penyelidik dari Universiti Zhejiang berjaya membangunkan kaedah penghantaran insulin tanpa jarum melalui sapuan kulit menggunakan polimer khas dikenali sebagai OP.
Kaedah baharu ini bertujuan menawarkan alternatif kepada suntikan insulin yang menjadi keperluan kritikal bagi penghidap diabetes, khususnya diabetes Jenis 1.
Polimer OP berfungsi dengan menembusi lapisan kulit melalui perubahan cas yang berlaku secara semula jadi mengikut perbezaan pH antara permukaan dan lapisan kulit yang lebih dalam.
Apabila insulin diikat pada polimer ini, ia mampu meresap ke dalam tubuh tanpa menjejaskan lapisan kulit.
Dalam ujian ke atas tikus dan khinzir, insulin yang dihantar menggunakan polimer OP menunjukkan kesan penurunan paras gula dalam darah yang setanding dengan insulin suntikan.
Penyelidik bagaimanapun menegaskan bahawa ujian klinikal pada manusia masih diperlukan bagi menentukan dos selamat dan mengesahkan keselamatan jangka panjang.
Walaupun kaedah ini menjanjikan pendekatan kurang invasif, penyelidik turut mengingatkan bahawa penghantaran insulin melalui kulit mungkin memerlukan masa lebih lama untuk diserap berbanding suntikan serta perlu disesuaikan untuk mengelakkan risiko dos berlebihan atau tidak mencukupi.
Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Nature.