Skip to main content

Teknologi

Perkhidmatan AI China DeepSeek lumpuh tujuh jam akibat isu teknikal

51769756738_TBDeepseek.jpg
Gangguan yang dikesan pada sekitar 9.35 malam menjejaskan akses melalui laman web dan aplikasi mudah alih, sebelum perkhidmatan dipulihkan sepenuhnya jam 10.33 pagi ini. -Gambar fail

HANGZHOU: Perkhidmatan bot sembang kecerdasan buatan (AI) terkemuka China, DeepSeek, mengalami gangguan terbesar sejak pelancarannya apabila platform itu tidak dapat diakses selama lebih tujuh jam bermula malam tadi.

Gangguan yang dikesan pada sekitar 9.35 malam menjejaskan akses melalui laman web dan aplikasi mudah alih, sebelum perkhidmatan dipulihkan sepenuhnya jam 10.33 pagi ini.

Menurut data daripada laman status rasmi DeepSeek, keseluruhan gangguan berlangsung selama kira-kira tujuh jam 13 minit, sekali gus memecahkan rekod kebolehpercayaan hampir 99 peratus yang dikekalkan sejak pengenalan model mercu R1 pada Januari 2025.

Setakat ini, syarikat berkenaan belum mendedahkan punca rasmi gangguan tersebut.

Namun, penganalisis industri berpendapat ia mungkin berkaitan dengan kerja penaiktarafan dalaman, lebih-lebih lagi ketika spekulasi mengenai pelancaran model generasi seterusnya semakin memuncak.

Insiden ini berlaku ketika persaingan pasaran AI China semakin sengit, dengan syarikat gergasi seperti Alibaba, ByteDance dan Tencent baru-baru ini melancarkan rangkaian model AI masing-masing bagi menyaingi kedudukan DeepSeek.

DeepSeek sebelum ini pernah berdepan gangguan singkat pada fasa awal lonjakan popularitinya, namun gangguan kali ini merupakan kejadian pertama membabitkan tempoh yang panjang bagi pengguna akses terus sejak platform itu dilancarkan.

Syarikat itu mengesahkan bahawa sistem kini kembali beroperasi pada tahap optimum dan pemantauan rapi sedang dilakukan bagi memastikan kestabilan rangkaian selepas insiden tersebut.

Must Watch Video