Skip to main content

Teknologi

Meta bangunkan empat cip AI tersendiri, siap dilancar dalam tempoh dua tahun

41709656518_MetaPlatforms.jpg
Meta menyatakan bahawa pembangunan cip tersendiri memberikan lebih kawalan terhadap prestasi dan kos, selain mengurangkan kebergantungan kepada vendor luar. -Gambar fail

META umum perancangan membangunkan sehingga empat cip pemprosesan tersendiri di bawah program Meta Training & Inference Accelerator (MTIA) bagi mengoptimumkan kecekapan operasi dan kos pemprosesan kecerdasan buatan (AI).

Cip-cip ini direka khusus untuk tugasan inferens, iaitu pemprosesan model AI dalam menjana respons kepada pengguna, lapor Amanz.

Cip terawal, MTIA 300, telah pun digunakan untuk menyokong model ranking dan cadangan pada platform Meta seperti Facebook dan Instagram.

Tiga cip seterusnya — MTIA 400, MTIA 450 dan MTIA 500 — akan diperkenalkan secara berperingkat dengan kadar pelancaran setiap enam bulan, sehingga 2027.

MTIA 400 yang memberi tumpuan kepada inferens generatif telah selesai melalui fasa ujian dan bakal digunakan pada pusat data Meta dalam masa terdekat.

Meta menyatakan bahawa pembangunan cip tersendiri memberikan lebih kawalan terhadap prestasi dan kos, selain mengurangkan kebergantungan kepada vendor luar.

Cip-cip ini dibina oleh Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), manakala sebahagian elemen reka bentuk turut melibatkan kerjasama dengan Broadcom.

Dalam masa sama, Meta masih meneruskan pembelian perkakasan daripada NVIDIA dan AMD bagi memenuhi permintaan AI berskala besar.

Penggunaan cip baharu ini dijangka memperluas kapasiti pusat data Meta yang sedang berkembang pesat untuk menyokong penggunaan AI merentas Facebook, Instagram, Threads dan WhatsApp.

Dengan pembangunan intensif ini, Meta dijangka mempercepat inovasi AI serta menyelaraskan kos operasi pada jangka panjang.

Must Watch Video