Skip to main content

Teknologi

Malaysia lancar MY-AI Standards perkukuh tadbir urus AI negara

 National AI Office Malaysia
Malaysia melancarkan platform MY-AI Standards pada 10 Mac lalu sebagai inisiatif untuk memperkukuh tadbir urus dan pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab di peringkat nasional, menurut kenyataan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang dikongsi menerusi laman rasmi Facebook. -Foto NAIO

CYBERJAYA: Malaysia telah melancarkan platform MY-AI Standards pada 10 Mac sebagai usaha memperkukuh tadbir urus serta pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab di peringkat nasional.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook.

Platform digital itu dibangunkan bagi menyokong keperluan organisasi dalam sektor awam, industri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta akademik untuk memahami dan mengaplikasikan standard AI berasaskan rujukan antarabangsa secara lebih sistematik.

Majlis pelancaran dirasmikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, yang menegaskan bahawa kepimpinan dalam teknologi AI memerlukan tadbir urus kukuh serta pematuhan terhadap standard yang diiktiraf global.

MY-AI Standards diwujudkan melalui kerjasama NAIO dan CyberSecurity Malaysia sebagai langkah memperkukuh ekosistem standard kebangsaan, selain memudahkan penggunaan standard antarabangsa oleh organisasi tempatan.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa platform berkenaan turut merupakan hasil program Capacity Building for Journey (CBJ) oleh International Organization for Standardization (ISO) dengan sokongan Jabatan Standard Malaysia (JSM), sekali gus mencerminkan usaha Malaysia bekerjasama dengan komuniti standard global dalam meningkatkan tadbir urus AI yang bertanggungjawab.

Gobind juga menekankan bahawa kepimpinan dalam AI tidak hanya ditentukan oleh kemajuan teknologi semata-mata, tetapi oleh kemampuan untuk membina kepercayaan dalam ekosistem digital melalui tadbir urus yang teguh serta pematuhan kepada standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Ketua Polisi AI ISO, Cindy Parokill turut berkata bahawa standard AI menjadi asas penting untuk kerjasama rentas sektor antara kerajaan, industri dan komuniti dalam memacu pembangunan teknologi tersebut.

Pelancaran MY-AI Standards dianggap sebagai langkah awal penting dalam perjalanan negara menuju visi AI Nation 2030, dengan fokus kepada pembangunan ekosistem digital yang selamat, dipercayai dan berdaya tahan.

NAIO ditubuhkan pada 28 Ogos oleh kerajaan Malaysia sebagai langkah memecut penerapan AI negara.

Matlamatnya ialah memupuk inovasi, memastikan pembangunan teknologi ini dilakukan secara etika dan bertanggungjawab, serta mengukuhkan daya saing Malaysia sebagai peneraju AI di peringkat serantau.

Must Watch Video