KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada tenaga buruh asing yang murah untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, jumlah pekerja asing di negara ini yang kini melebihi dua juta orang wajar diberi perhatian serius kerana keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa kawalan.
“Mesti ada kebimbangan dan kita perlu menerima hakikat bahawa keadaan itu tidak boleh berterusan begitu sahaja.
“Kebanyakan negara, apabila (industri) melonjak ke tahap yang lebih tinggi, akan sedar bahawa tidak boleh hanya bergantung kepada tenaga buruh asing yang murah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai.
Soalan itu dikemukakan semasa Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri Ke-12 bertajuk ‘Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global’ di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini, hari ini.
Dalam sesi soal jawab itu, Lim membangkitkan cabaran industri dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing termasuk aspek kos utiliti, kecekapan tenaga kerja serta keperluan mendapatkan pekerja asing bagi memenuhi kapasiti operasi syarikat berskala besar.
Menurut Lim, syarikat seperti Top Glove yang mengendalikan puluhan kilang masih memerlukan tenaga kerja asing selain jurutera, eksekutif dan tenaga mahir bagi memastikan operasi industri terus berjalan lancar.
Anwar turut menyatakan kerajaan sedang memperkukuh pembangunan modal insan menerusi peluasan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pengajian tinggi.
“Untuk tenaga kerja, saya sedang meningkatkan kumpulan latihan melibatkan kedua-duanya iaitu TVET serta universiti dan kolej,” katanya.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan keperluan tenaga kerja tempatan dapat dipenuhi selaras dengan perubahan landskap ekonomi global.
Tambahnya, kerajaan juga akan terus berbincang dengan pihak industri bagi memastikan syarikat tempatan kekal kompetitif tanpa terlalu bergantung kepada pekerja asing.
“Perlu dibincangkan bersama pihak industri bagi memastikan kekal berdaya saing, namun pada masa yang sama tidak terlalu bergantung terhadapnya ” katanya lagi.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Kumpulan serta Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Allen Ng.