KUALA LUMPUR: Instagram kini meluaskan pelaksanaan ciri Teen Accounts di Malaysia dengan menawarkan perlindungan serta kawalan yang lebih ketat kepada pengguna di bawah umur 18 tahun, berasaskan penarafan kandungan 13+.
Menerusi tetapan baharu itu, semua pengguna remaja akan secara automatik ditempatkan di bawah kategori tersebut dan tidak dibenarkan mengubah tetapan berkenaan tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga, lapor Amanz.
Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah Limited Content, yang membolehkan ibu bapa menetapkan kawalan tambahan termasuk menapis lebih banyak kandungan serta mengehadkan interaksi seperti memberi atau menerima komen dan mesej.
Dalam masa sama, Instagram menyekat paparan serta cadangan kandungan berunsur jelik, gangguan, bahasa kasar, serta promosi produk untuk dewasa seperti alkohol dan tembakau.
Kandungan yang boleh mendorong tingkah laku berbahaya juga tidak akan disyorkan kepada akaun remaja.
Dari segi kawalan akaun, remaja tidak dibenarkan mengikuti akaun yang kerap berkongsi kandungan tidak sesuai, manakala akaun sedemikian tidak akan muncul dalam hasil carian atau dibenarkan berinteraksi dengan mereka.
Carian bagi istilah sensitif seperti alkohol, kecederaan diri dan topik berisiko tinggi turut disekat sepenuhnya.
Dalam pada itu, kecerdasan buatan (AI) Instagram telah dikemas kini bagi memastikan jawapan yang diberikan selaras dengan penarafan 13+.
Kandungan yang melanggar garis panduan tidak akan dipaparkan dalam Feed, Explore, Reels, Stories atau mesej peribadi.
Pelaksanaan ciri baharu ini sedang dilakukan secara berperingkat di Malaysia dan dijangka tersedia sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan akan datang.