Skip to main content

Teknologi

Google perkenal Gemini 3.1 Flash Live, suara AI lebih realistik dan pantas

Sumber: AMANZ
Model itu dibangunkan untuk meningkatkan pengalaman perbualan menerusi ciri Gemini Live dan Search Live, sekali gus menjadikan interaksi lebih menyerupai komunikasi manusia sebenar. -Foto Amanz

GOOGLE melancarkan Gemini 3.1 Flash Live, model kecerdasan buatan (AI) audio dan suara yang menawarkan prestasi lebih realistik serta pantas dalam perbualan masa nyata.

Model itu dibangunkan untuk meningkatkan pengalaman perbualan menerusi ciri Gemini Live dan Search Live, sekali gus menjadikan interaksi lebih menyerupai komunikasi manusia sebenar, lapor Amanz.

Google berkata Gemini 3.1 Flash Live lebih berupaya mengenal pasti nada dan tempo suara pengguna dengan tepat, selain memberikan respons yang lebih cepat berbanding versi Gemini 2.5 Flash Native Audio.

Penambahbaikan ketara turut dibuat pada penapisan bunyi bagi membolehkan model ini membezakan suara pengguna daripada bunyi latar seperti trafik atau televisyen, sekali gus meningkatkan ketepatan perbualan dalam situasi dunia sebenar.

Model ini menyokong lebih 90 bahasa, termasuk Bahasa Melayu, untuk perbualan multimodal masa nyata.

Ciri itu sekali gus memperluas akses teknologi kepada komuniti global yang lebih besar.

Gemini 3.1 Flash Live kini boleh digunakan dalam lebih 200 negara dan wilayah melalui Gemini Live dan Search Live, dan boleh diakses terus menerusi aplikasi Google.

Seiring pengemaskinian ini, Google terus memperkukuh ekosistem AI mereka dengan siri model bahasa besar (LLM) yang menumpukan kepantasan pemprosesan dan pengalaman interaksi masa nyata bagi pengguna peranti mudah alih.

Must Watch Video