Skip to main content

Teknologi

Google Maps tampil dengan Ask Maps, navigasi 3D lebih realistik

Sumber: AMANZ
Bangunan, jejambat dan bentuk muka bumi kini dipaparkan seakan dunia sebenar, manakala maklumat lorong, lintasan pejalan kaki, lampu isyarat dan papan tanda turut dipertingkatkan. -Foto Amanz

GOOGLE Maps menerima kemas kini terbaharu dengan ciri berasaskan kecerdasan buatan Gemini, termasuk Ask Maps dan paparan navigasi yang lebih imersif, lapor Amanz.

Ask Maps membolehkan pengguna bertanya menggunakan bahasa harian, seperti “di mana nak caj EV di kawasan ini?” atau “ada tandas awam berdekatan?”.

Melalui data lebih 300 juta lokasi dan maklumat daripada komuniti melebihi 500 juta penyumbang, ciri itu memberikan cadangan yang relevan serta bersifat peribadi.

Selepas menerima jawapan, pengguna boleh membuat tempahan restoran, menyimpan lokasi, berkongsi pautan dan memulakan navigasi terus dari aplikasi.

Ask Maps kini dilancarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat dan India menerusi Android serta iOS, sebelum diperluaskan ke desktop.

Google turut memperkenalkan Immersive Navigation yang menawarkan paparan 3D lebih realistik.

Bangunan, jejambat dan bentuk muka bumi kini dipaparkan seakan dunia sebenar, manakala maklumat lorong, lintasan pejalan kaki, lampu isyarat dan papan tanda turut dipertingkatkan.

Suara navigasi baharu juga lebih semula jadi.

Aplikasi turut memaparkan amaran masa nyata mengenai kesesakan dan kemalangan. Apabila hampir tiba di lokasi, panduan ke arah kawasan parkir dipaparkan lebih jelas.

Buat masa ini, Immersive Navigation hanya tersedia untuk pengguna di Amerika Syarikat melalui Android, iOS, CarPlay, Android Auto dan kereta dengan sistem Google terbina.

Must Watch Video