Skip to main content

Teknologi

Google lancar Android Automotive OS baharu, kawal penuh fungsi kenderaan

Sumber: AMANZ
Berbeza dengan Android Auto yang hanya menumpukan kepada sistem hiburan, AAOS dikembangkan untuk menguruskan pelbagai ciri kenderaan termasuk sistem lampu, pendingin hawa, pelarasan tempat duduk serta profil pemandu. -Foto hiasan/Amanz

MOUNTAIN VIEW: Gergasi teknologi Google secara rasmi mengumumkan Android Automotive OS (AAOS), sebuah sistem operasi baharu yang direka khas untuk mengawal keseluruhan fungsi kenderaan masa hadapan, lapor Amanz.

Berbeza dengan Android Auto yang hanya menumpukan kepada sistem hiburan, AAOS dikembangkan untuk menguruskan pelbagai ciri kenderaan termasuk sistem lampu, pendingin hawa, pelarasan tempat duduk serta profil pemandu.

Google dalam satu kenyataan berkata, platform terbuka itu bertujuan mengurangkan kerumitan dan mempercepatkan proses pembangunan kenderaan oleh pengeluar automotif.

“AAOS membolehkan pengalaman dalam kenderaan menjadi lebih lancar dan konsisten bagi setiap pengguna,” kata Google menerusi kenyataan itu hari ini.

Syarikat itu berkata, pemilik kenderaan bakal menikmati ciri baharu dengan lebih pantas melalui kemas kini dalam talian (OTA) tanpa perlu ke pusat servis.

“Inovasi ini akan menamatkan kebergantungan pengeluar kepada pelbagai modul perisian berbeza yang selama ini menyukarkan proses integrasi teknologi,” tulis Google.

Projek pembangunan AAOS itu dijalankan secara kolaborasi bersama Renault Group dan Qualcomm, dengan perancangan untuk menawarkannya sebagai sumber terbuka menjelang akhir tahun ini.

Langkah terbaharu Google ini dilihat sebagai persaingan terus kepada Apple Car Play Ultra yang diumumkan pada 2022, namun setakat ini hanya melibatkan penyertaan daripada Aston Martin, Hyundai, Kia dan Genesis.

Sebelum ini, kebanyakan pengeluar kenderaan membina perisian sendiri yang sering berhadapan kekangan integrasi pihak ketiga, sekali gus melambatkan evolusi sistem pintar dalam industri automotif global.

Must Watch Video