Skip to main content

Teknologi

Eksekutif kanan OpenAI letak jawatan protes kerjasama Pentagon

41746704344_OpenAIlogo.jpg
OpenAI mempertahankan kerjasama dengan Pentagon dan menegaskan bahawa perjanjian tersebut mempunyai “garis merah” yang melarang penggunaan teknologinya untuk pemantauan domestik atau senjata autonomi. -Gambar fail

KETUA perkakasan dan robotik OpenAI Caitlin Kalinowski umum letak jawatan sebagai protes terhadap perjanjian kontroversi syarikat itu dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon), lapor Amanz.

Tindakan itu dibuat susulan perjanjian yang membolehkan model kecerdasan buatan syarikat itu digunakan dalam rangkaian awan terkelas tentera.

Kalinowski berkata keputusan itu berpunca daripada kebimbangannya mengenai risiko penyalahgunaan teknologi AI, termasuk kemungkinan ia digunakan untuk surveilan rakyat tanpa pengawasan kehakiman serta senjata autonomi tanpa kelulusan manusia.

Beliau menegaskan pengumuman perjanjian itu dibuat terlalu cepat tanpa garis panduan keselamatan dan tadbir urus yang jelas.

 

 

"Saya telah meletak jawatan daripada OpenAI. Saya amat mementingkan pasukan Robotik dan hasil kerja yang telah kami bina bersama. Ini bukanlah satu keputusan yang mudah. 

"AI mempunyai peranan penting dalam keselamatan negara. Namun, pengawasan terhadap rakyat Amerika tanpa pemantauan sah dan autonomi berbahaya tanpa kebenaran manusia adalah batasan yang sepatutnya memerlukan pertimbangan yang lebih mendalam daripada apa yang telah diberikan. 

"Ini adalah soal prinsip, bukan soal individu. Saya mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap Sam dan pasukan tersebut, dan saya bangga dengan apa yang telah kami bina bersama," tulis Kalinowski.

Beliau menyertai OpenAI pada November 2024 selepas mengetuai pembangunan cermin mata AR di Meta, dan menyifatkan peletakan jawatan ini sebagai keputusan berasaskan prinsip, bukan peribadi.

Sementara itu, OpenAI mempertahankan kerjasama dengan Pentagon dan menegaskan bahawa perjanjian tersebut mempunyai “garis merah” yang melarang penggunaan teknologinya untuk pemantauan domestik atau senjata autonomi.

Syarikat itu turut menyatakan komitmen untuk terus melibatkan pekerja, pihak kerajaan dan masyarakat awam dalam membincangkan implikasi keselamatan nasional berkaitan penggunaan AI.

Isu ini turut berlaku selepas rundingan Pentagon dengan syarikat pesaing, Anthropic, gagal mencapai kata sepakat mengenai perlindungan terhadap penggunaan AI untuk pengawasan berskala besar atau automasi ketenteraan tanpa manusia.

Anthropic kemudiannya dilabel sebagai risiko rantaian bekalan, mencetuskan peralihan Pentagon kepada OpenAI.

 

 

Must Watch Video