RAMALLAH: Rakyat Palestin di Tebing Barat dan bandar Deir al‑Balah di Semenanjung Gaza keluar mengundi pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) hari ini yang menandakan proses pengundian pertama diadakan sejak perang di wilayah berkenaan.
Pilihan raya itu melibatkan 420 PBT di seluruh Tebing Barat, manakala di Semenanjung Gaza, pengundian hanya dilaksanakan di Deir al‑Balah sebagai projek perintis oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Perkembangan tersebut mempunyai kepentingan sejarah kerana ia merupakan pengundian pertama di Gaza dalam lebih dua dekad, sejak pilihan raya perundangan pada 2006.
Sebahagian besar senarai calon terdiri daripada calon bebas atau individu yang dikaitkan dengan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas.
Kumpulan Hamas pula tidak mengemukakan calon secara rasmi, namun laporan menyebut beberapa senarai bebas di Deir al‑Balah dilihat memiliki kecenderungan pro‑Hamas.
Hampir 1.5 juta orang berdaftar untuk mengundi di Tebing Barat yang diduduki Israel, serta 70,000 orang di kawasan Deir el-Balah di Gaza, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat yang berpangkalan di Ramallah.
Pusat mengundi di Tebing Barat dibuka dari 7 pagi hingga 7 malam, manakala pengundian di Deir al‑Balah berakhir pada 5 petang bagi memudahkan pengiraan dalam waktu siang, mengambil kira kekangan bekalan elektrik.
Bagi memastikan kelancaran proses, Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) mengendalikan pentadbiran pilihan raya, dengan kawalan keselamatan tempatan tanpa senjata di Gaza.
Di beberapa bandar utama Tebing Barat termasuk Nablus dan Ramallah, sejumlah calon menang tanpa bertanding selepas hanya satu senarai diluluskan.
Langkah itu dilihat sebagai ujian awal terhadap kebolehlaksanaan pentadbiran pilihan raya yang lebih menyeluruh pada masa depan, selari dengan janji Presiden Mahmoud Abbas untuk mengadakan pilihan raya presiden dan perundangan dalam tempoh setahun selepas gencatan senjata berkuat kuasa.