AMSTERDAM: Platform tempahan hotel dan percutian, Booking.com, mengesahkan berlakunya kebocoran data selepas penggodam memperoleh akses tidak sah kepada sebahagian maklumat pelanggan dalam satu insiden keselamatan siber baru-baru ini, lapor Amanz.
Menurut syarikat itu, data yang telah diakses termasuk nama, alamat emel, nombor telefon serta butiran tempahan, selain maklumat lain yang mungkin dikongsi pengguna dengan pihak penginapan berkaitan tempahan berkenaan.
Bagaimanapun, Booking.com menegaskan bahawa maklumat kewangan pengguna tidak terjejas dalam insiden tersebut.
Syarikat itu juga tidak mendedahkan jumlah sebenar pelanggan yang terkesan.
Booking.com memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan segera bagi mengawal keadaan, termasuk mengemas kini nombor PIN untuk tempahan terlibat serta memaklumkan pengguna yang terbabit mengenai potensi risiko keselamatan.
Sementara itu, pakar keselamatan siber memberi amaran bahawa maklumat yang terdedah berisiko disalahgunakan untuk serangan siber dan penipuan terancang, termasuk mesej palsu yang menyamar sebagai wakil rasmi Booking.com.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang komunikasi mencurigakan, terutamanya yang meminta maklumat peribadi tambahan atau melibatkan transaksi kewangan, serta mengesahkan sebarang komunikasi melalui saluran rasmi syarikat.