PUTRAJAYA: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan sedang bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menilai impak sebenar kenaikan harga bahan binaan, susulan konflik Asia Barat terhadap sektor pembinaan tempatan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau berkata kerjasama itu membolehkan Kementerian Kerja Raya memperoleh peratusan kenaikan yang lebih tepat, melalui kaedah pengiraan inflasi secara saintifik.
“DOSM mempunyai angka dan kaedah pengiraan yang dibuat dari semasa ke semasa secara berkala. Ia menggunakan pendekatan yang boleh dipercayai, bukan sekadar anggaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Pusat Aktiviti Setia Perdana, Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Ahmad berkata penilaian perlu dibuat secara terperinci dengan melihat komponen sebenar dalam sesuatu projek pembinaan.
“Sebagai contoh, dalam satu projek bangunan yang melibatkan kira-kira 50 item, kita perlu kenal pasti berapa banyak item yang benar-benar terjejas dan sejauh mana kesannya,” katanya.
Ahmad berkata impak kenaikan kos berbeza mengikut jenis projek, dengan pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya dilaporkan lebih terkesan berbanding projek bangunan.
Beliau berkata kenaikan harga diesel memberi tekanan besar kepada kos operasi kontraktor jalan raya, memandangkan penggunaan jentera berat seperti lori, jentolak dan mesin penggelek yang menggunakan bahan api tersebut.
“Sebaliknya, bagi projek pembinaan bangunan, kesan kenaikan diesel adalah lebih terhad, kerana penggunaan bahan api itu tidak begitu tinggi,” katanya.
Ahmad berkata kenaikan kos dalam sektor pembinaan tidak semestinya berpunca sepenuhnya daripada konflik semasa, sebaliknya turut dipengaruhi faktor rantaian bekalan sedia ada yang telah memberi kesan kepada harga sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata hanya empat peratus daripada 855 projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara, kini diklasifikasikan sebagai projek sakit yang lazimnya berpunca daripada kelewatan kemajuan oleh pihak kontraktor.
“Apabila kita membuat kajian mengenai punca projek sakit, ia banyak berkait dengan kelemahan pengurusan projek dan juga pengurusan kewangan,” katanya.
Ahmad hari ini turut meninjau kemajuan projek Pusat Aktiviti Setia Perdana, Jabatan Perdana Menteri di sini yang sepatutnya siap pada 2024, namun mengalami kelewatan ketara selepas diberikan lanjutan masa sebanyak enam kali.
Beliau berkata kontraktor projek itu didapati gagal mematuhi beberapa keperluan asas, termasuk tidak menghadiri mesyuarat tapak, kekurangan tenaga kerja mahir serta perancangan kerja yang lemah.
Sehubungan dengan itu, Ahmad berkata pihaknya akan meneliti langkah seterusnya termasuk kemungkinan penamatan kontrak bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan tanpa menjejaskan kepentingan awam.
Beliau berkata kementerian tidak menggalakkan pemberian lanjutan masa berulang, kerana ia mencerminkan masalah pelaksanaan serta berpotensi meningkatkan kos projek.
“Setiap lanjutan masa akan memberi implikasi kos. Jika kontrak ditamatkan, kerajaan perlu melantik kontraktor lain melalui tender baharu yang juga melibatkan kos tambahan serta tempoh masa dua hingga tiga bulan,” katanya.
-- BERNAMA