Skip to main content

Teknologi

Aplikasi pemesejan XChat diperkenal, saingi WhatsApp dan Telegram

81763263812_XChatDm.jpg
Aplikasi berkenaan dikesan muncul dalam senarai pra‑pesanan di stor aplikasi Apple, dengan penekanan diberikan kepada aspek keselamatan dan privasi, termasuk penggunaan penyulitan hujung ke hujung. -Foto fail

SAN FRANCISCO: Platform media sosial X dilapor bakal melancarkan aplikasi pesanan ringkas kendiri dikenali sebagai XChat dalam masa terdekat, sekali gus menawarkan pengalaman perbualan peribadi yang lebih tersendiri kepada pengguna.

Aplikasi berkenaan dikesan muncul dalam senarai prapesanan di stor aplikasi Apple, dengan penekanan diberikan kepada aspek keselamatan dan privasi, termasuk penggunaan penyulitan hujung ke hujung.

Berdasarkan maklumat awal, XChat dibangunkan menggunakan bahasa pengaturcaraan Rust, yang sering dikaitkan dengan kecekapan prestasi dan keselamatan data.

Aplikasi itu juga dilaporkan tidak memaparkan iklan serta tidak memerlukan pengguna berkongsi nombor telefon peribadi untuk menggunakan fungsi pesanan, termasuk panggilan audio dan video.

Selain fungsi pemesejan teks, XChat turut dilengkapi ciri kawalan kandungan seperti sekatan tangkapan skrin, pesanan yang hilang sendiri, serta keupayaan memadam atau menyunting mesej untuk semua peserta dalam perbualan.

Aplikasi tersebut juga dikatakan menyokong perbualan kumpulan berskala besar, dengan kapasiti sehingga 481 peserta pada satu‑satu masa, sejajar keperluan komuniti dalam talian yang semakin berkembang.

Pemerhati industri melihat langkah memperkenalkan aplikasi berasingan ini sebagai sebahagian daripada strategi pemilik X, Elon Musk, untuk bersaing secara langsung dengan aplikasi pesanan sedia ada seperti WhatsApp dan Telegram, selari dengan hasrat menjadikan X sebagai sebuah aplikasi serba guna.

Setakat ini, tawaran XChat dilaporkan terhad kepada pengguna sistem operasi iOS, manakala versi untuk peranti Android dijangka diperkenalkan pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Must Watch Video