KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek yakin pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia mampu menyuntik moral barisan pemain badminton Malaysia pada Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark yang dijadualkan berlangsung 24 April hingga 3 Mei ini.
Rashid berkata biarpun dibelenggu prestasi kurang memuaskan selepas pulih daripada kecederaan sebelum ini, Zii Jia masih mempunyai pengaruh besar dan memegang status sebagai seorang pemain ternama di pentas dunia termasuk menjuarai Seluruh England 2021 di Birmingham.
“Kehadiran Zii Jia sedikit sebanyak boleh menguatkan lagi pasukan dan meningkatkan semangat mereka. Sebelum ini, pemain selain daripada Zii Jia jika disenaraikan tiada nama (pengaruh) dan standard pun jauh.
“Pemain yang ada nama mampu memberi pengaruh besar dalam acara berpasukan. Jika pemain kurang ternama, penyertaan mereka hanya cukup syarat. Dengan adanya Zii Jia, peluang menang (perlawanan) memang ada,” katanya kepada Bernama.
Pemain berusia 28 tahun itu bergelut dengan kecederaan sejak mengalami masalah buku lali pada Final Jelajah Dunia Disember 2024, sebelum kembali beraksi pada Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac tahun lepas.
Dengan kecederaan buku lali yang masih belum pulih sepenuhnya, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu terpaksa berehat sekali lagi sebelum kembali ke gelanggang pada Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lepas.
Pada September, beliau beraksi pada Terbuka Hong Kong sebelum menarik diri pada pusingan pertama Masters China akibat kecederaan belakang.
Susulan daripada itu, pemain kelahiran Kedah berkenaan membuat keputusan untuk berehat sepenuhnya bagi memberi tumpuan kepada pemulihan.
Sejak kembali beraksi bermula dengan Terbuka Malaysia 2026 pada Januari lepas, Zii Jia hanya mara ke suku akhir dua kali, iaitu Masters Thailand 2026 (Januari) dan Terbuka Swiss 2026 di Basel, Switzerland (Mac) daripada keseluruhan enam kejohanan disertainya tahun ini.
Rashid pada masa sama berkata pemain ranking ke-83 dunia ketika ini mungkin lebih sesuai diturunkan selaku pemain perseorangan ketiga berdasarkan prestasi semasanya.
Beliau berkata percaturan meletakkan Zii Jia selaku pemain perseorangan ketiga juga berpotensi menguatkan cabaran negara dalam mencari mata kemenangan pada kejohanan badminton berpasukan berprestij dunia itu.
“Buat masa sekarang, kalau Zii Jia diletakkan sebagai perseorangan ketiga, kita ada pemain yang kuat dan boleh bersaing dengan pemain negara lain.
“Zii Jia adalah pemain ternama dan pernah juara Seluruh England tetapi yang paling penting adalah tahap kecergasan semasa. Sama ada beliau benar-benar bersedia untuk menggalas tugas sebagai perseorangan ketiga masih menjadi tanda tanya,” katanya.
Justeru, pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki Sukan Olimpik 1996 itu berharap agar juara Kejohanan Badminton Asia 2022 berkenaan mampu meningkatkan tahap kecergasan dan memikul tanggungjawab sebaik mungkin sekiranya diberikan kepercayaan beraksi di Horsens kelak.
Selain Zii Jia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengumumkan tiga lagi pemain yang bakal dipertaruhkan membarisi kem perseorangan negara, iaitu Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Bagi acara beregu lelaki, cabaran negara diterajui pasangan nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Skuad lelaki kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland.
-- BERNAMA