Skip to main content

Sukan

Sepak Takraw Piala Asia: Kuadran Malaysia 'libas' China

81746870006_tbASTAFSepakTakraw.jpg
KUALA LUMPUR: Malaysia membuka gelanggang acara kuadran dengan menundukkan China pada aksi Kumpulan B Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 hari ini.


Ringkasan AI
  • Skuad negara bangkit dari permulaan goyah untuk meraih kemenangan 15-10 dan 15-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa.
  • Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman mengakui pasukan agak bergelut pada awal perlawanan tetapi menekankan perlunya memperbaiki corak serangan serta mengurangkan kesilapan menjelang perlawanan seterusnya.
  • Malaysia dijadualkan berdepan Filipina dalam aksi kedua Kumpulan B, selepas pasukan tersebut tewas kepada Jepun dengan keputusan 12-15 dan 6-15 dalam perlawanan terdahulu.


Pada aksi di Stadium Titiwangsa di sini, skuad negara yang mempertaruhkan Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahalril Aiman Halim, bagaimanapun bermula goyah apabila ketinggalan 2-7 sebelum bangkit dengan kemenangan set pertama 15-10.

Set kedua, China membuat dua pertukaran pemain dengan hasrat melakukan kebangkitan namun tidak mendatangkan hasil apabila dihukum Malaysia dengan kekalahan 3-15.

Jurulatih kuadran negara Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman berkata anak buahnya lambat 'panas' sehingga menyaksikan persembahan kurang baik pada awal perlawanan.

"Pada awalnya skuad kita nampak bergelut tapi Alhamdulillah mereka dapat segera bangkit mencari mata.

"Namun saya tekankan kepada pemain untuk memperkemas corak serangan selepas ini selain mengurangkan kesilapan," katanya ketika ditemui.

Malaysia seterusnya akan menentang Filipina pada aksi kedua Kumpulan B malam ini.

Terdahulu, Filipina tewas kepada Jepun dengan keputusan 12-15, 6-15 dalam satu lagi aksi pembukaan kumpulan itu.

-- BERNAMA





Must Watch Video