Skip to main content

Malaysia

Video berkhayal tular, enam lelaki termasuk pembekal vape disyaki dadah ditahan

51738151815_Vape.jpg
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan enam lelaki termasuk pembekal vape disyaki mengandungi dadah susulan penularan beberapa video di media sosial memaparkan individu berada dalam keadaan khayal dan menghisap vape secara keterlaluan, baru-baru ini. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan enam lelaki termasuk pembekal vape disyaki mengandungi dadah susulan penularan beberapa video di media sosial memaparkan individu berada dalam keadaan khayal dan menghisap vape secara keterlaluan, baru-baru ini.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya memandang serius  penyalahgunaan vape yang dikhuatiri menjadi medium normalisasi budaya penyalahgunaan bahan terlarang serta gaya hidup tidak sihat.

Beliau berkata JSJN tidak menolak kemungkinan terdapat vape yang dicampur bahan berbahaya atau dadah sintetik yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Hasil tindakan terhadap satu video tular memaparkan dua lelaki dalam keadaan khayal dipercayai akibat menghisap vape disyaki mengandungi dadah di sebuah apartmen di Selangor, JSJN berjaya menahan tiga lelaki termasuk dua individu dalam video terbabit serta seorang pembekal vape.

“Dalam serbuan sama, polis turut merampas sebotol cecair vape disyaki mengandungi ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JSJN turut bertindak terhadap satu lagi video tular memaparkan dua lelaki menghisap vape sambil membuat siaran langsung di sebuah aplikasi media sosial di Johor Bahru.

“Hasil tindakan itu, tiga lelaki tempatan termasuk dua individu dalam video berkenaan berjaya ditahan. Soal siasat mendapati mereka mengaku membuat siaran langsung itu hanya untuk mendapat hadiah daripada penonton,” katanya.

Hussein berkata JSJN sebelum ini turut melaksanakan Ops Vape 1.0 bersama Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Tenaga Nasional Berhad di seluruh negara pada 13 hingga 17 April lepas.

Beliau berkata operasi bersepadu itu memfokuskan pengesanan, pemeriksaan premis menjual vape dan penahanan individu terlibat dalam aktiviti pengedaran serta penjualan vape mengandungi dadah.

“Sebanyak 1,670 premis menjual vape telah diserbu dan lima individu terdiri daripada dua lelaki tempatan, seorang lelaki warga China dan dua wanita tempatan ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam Ops Vape 1.0, JSJN berjaya merampas 19.67 kilogram cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis Furanyl Fentanyl dan 186.54 kilogram cecair vape yang tidak mengandungi dadah dengan nilai keseluruhan rampasan RM4.6 juta,” katanya.

Beliau berkata JSJN akan terus mempergiat risikan, pemantauan dan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti pengedaran vape yang mengandungi bahan terlarang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya sambil menyeru ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan memantau tingkah laku anak-anak serta tidak memandang ringan ancaman vape yang semakin menular ketika ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menyalurkannya menerusi Hotline JSJN, 012-208 7222.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement