Skip to main content

Sukan

Undian suku akhir Piala FA: City bertemu Liverpool, Arsenal bertandang ke Southampton

STADIUM ASTRO
- Foto Astro ARENA

UNDIAN suku akhir kejohanan berprestij England, Piala FA, menyajikan pertembungan 'pecah panggung' apabila Manchester City bakal menentang seteru utama mereka, Liverpool.

Perlawanan yang dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak itu hadir selepas kedua-dua pasukan mara ke kelompok lapan terbaik dengan kemenangan meyakinkan pada pusingan sebelumnya.

City yang dibimbing Pep Guardiola menempah tiket suku akhir selepas menewaskan Newcastle United 3-1, manakala Liverpool pula menundukkan Wolverhampton Wanderers dengan keputusan sama.

Sementara itu, pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, bakal bertandang ke gelanggang kelab divisyen kedua, Southampton.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu juga masih berpeluang memburu empat trofi musim ini, selepas turut mara ke final Piala Liga dan pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Kelab divisyen ketiga, Port Vale FC, mencuri perhatian selepas mengejutkan Sunderland AFC 1-0 pada pusingan kelima.

Namun cabaran lebih besar menanti mereka apabila dijadualkan bertemu Chelsea FC di suku akhir.

Dalam satu lagi perlawanan, West Ham United akan menentang Leeds United selepas kelab London itu menewaskan Brentford FC menerusi penentuan penalti.

Gol penalti penentu dijaringkan oleh Konstantinos Mavropanos bagi memastikan kemenangan 5-3 selepas perlawanan berakhir 2-2 hingga masa tambahan.

Senarai penuh aksi suku akhir:

Southampton vs Arsenal
Chelsea vs Port Vale
Manchester City vs Liverpool
West Ham United vs Leeds United

Kesemua aksi suku akhir dijadual berlangsung pada 4 hingga 5 April, dengan perebutan tempat ke separuh akhir dijangka menyajikan aksi sengit antara kelab-kelab terbaik England.

 

Must Watch Video