Skip to main content

Sukan

Powerman Malaysia pacu pelancongan sukan sokong Tahun Melawat Malaysia 2026

PUTRAJAYA, 9 Jun -- Sebahagian para peserta Powerman Malaysia 2024 memulakan larian di pekarangan Istana Kehakiman hari ini.  -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Acara Powerman Malaysia yang bakal berlangsung dari 18 hingga 20 September, menyasarkan hingga 5,000 peserta dari dalam dan luar negara. - Bernama

KUALA LUMPUR: Acara duathlon bertaraf dunia, Powerman Malaysia, bersedia menjadi antara penggerak utama sektor pelancongan sukan negara bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengarah Acara Powerman Malaysia Niklas Yong Tzy Foong berkata acara itu yang bakal berlangsung dari 18 hingga 20 September, menyasarkan hingga 5,000 peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus dijangka memberikan impak ekonomi yang signifikan kepada sektor perhotelan dan perniagaan tempatan.

“Peserta kami bukan hanya melibatkan rakyat tempatan tetapi juga dari pelbagai negara, jadi kebiasaannya mereka akan hadir bersama pasangan dan anak-anak, sama ada sebagai penyokong ataupun peserta.

“Memandangkan acara ini berlangsung selama tiga hari, sudah tentu mereka akan menginap beberapa hari di sini sambil menjelajah Malaysia. Inilah yang kami maksudkan dengan pelancongan sukan,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Menurut beliau, walaupun siri Powerman turut berlangsung di negara lain seperti Switzerland, Jerman, Brazil dan Amerika Syarikat, Malaysia terus mengekalkan rekod sebagai lokasi dengan jumlah penyertaan tertinggi di dunia.

Hal ini kerana, katanya Dataran Putrajaya terletak di lokasi yang strategik dan ikonik sebagai pusat pentadbiran negara, selain menawarkan laluan perlumbaan yang sesuai serta suasana bandar yang tersusun.

Yong berkata acara sukan itu dibentuk untuk semua peringkat kemahiran, daripada atlet elit yang bersaing di peringkat antarabangsa kepada peserta amatur yang baharu menceburi sukan daya tahan, dengan setiap kategori disusun mengikut tahap kemampuan masing-masing.

Beliau berkata lebih menarik, kanak-kanak juga tidak ketinggalan melalui program PowerKids, sekali gus membolehkan seluruh keluarga mengambil bahagian pada hari yang sama mengikut acara masing-masing.

Menurut Yong, selain menganjurkan acara lumba basikal dan larian, pihak penganjur turut menyediakan lebih 60 reruai pameran tempatan dan antarabangsa melibatkan pelbagai sesi perkongsian, pameran serta aktiviti yang terbuka kepada orang ramai bagi memperkaya pengalaman pengunjung. 

“Dari awal lagi, visi kami adalah untuk menjadikan Powerman Malaysia sebuah acara yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Sebab itu ekspo kami dibuka kepada orang ramai, bukan peserta semata-mata,” katanya.

Selain itu, Yong berkata kerjasama dengan komuniti sukan tempatan seperti Gruppetto dan Voltra turut membantu memperluas jangkauan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sukan daya tahan di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Grupetto Sdn Bhd Khairy Sulaiman berkata peranan sebagai clubhouse partner dalam Powerman Malaysia bukan sekadar kerjasama penjenamaan, sebaliknya penglibatan aktif dalam membantu peserta membuat persediaan menyeluruh menjelang acara itu.

Beliau berkata pihaknya menyediakan program latihan berstruktur termasuk sesi kayuhan berkumpulan dan larian bersama, selain membimbing ahli komuniti sehingga mereka bersedia untuk berada di garisan mula dan menamatkan perlumbaan.

“Di Gruppetto, kami percaya sukan daya tahan adalah tentang perjalanan mencabar diri sendiri. Kami mahu pastikan setiap individu, termasuk yang baru bermula, tidak melalui proses itu bersendirian, sebaliknya menjadi sebahagian daripada komuniti yang saling menyokong,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video