OVIEDO: Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares berkata pada Selasa bahawa “tiada bukti” untuk menyokong dakwaan Israel terhadap dua aktivis yang ditahan, ketika Madrid menyelaras dengan Brazil mengenai kemungkinan tindak balas, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar tempatan.
“Tiada bukti atau sebarang kaitan dengan apa yang didakwa pihak berkuasa Israel,” kata Albares kepada penyiar awam Sepanyol RTVE.
Aktivis berkenaan -- Saif Abu Keshek yang merupakan warga Sepanyol-Palestin dan warga Brazil Thiago Avila -- ditahan oleh tentera Israel ketika dalam perjalanan menaiki flotila Global Sumud yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
Pihak berkuasa Israel menuduh mereka melakukan kesalahan termasuk bekerjasama dengan musuh ketika perang, berhubung dengan ejen asing dan menyokong organisasi pengganas.
Albares berkata Sepanyol dan Brazil sedang menyelaras tindak balas bersama namun enggan memperincikan langkah yang mungkin diambil. Kedua-dua negara sebelum ini telah menuntut kerajaan Israel supaya segera memulangkan rakyat mereka.
“Saya tidak mahu mengatakan apa-apa yang boleh memburukkan keadaan Saif,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua negara tidak akan “meninggalkan” rakyat mereka.
Beliau menyifatkan penahanan itu sebagai “sepenuhnya tidak sah”, dengan berhujah bahawa tentera Israel tidak mempunyai bidang kuasa di perairan antarabangsa, lokasi aktivis itu ditahan berhampiran pulau Crete di Greece.
“Anda tidak menyerbu sebuah kapal di perairan antarabangsa. Ini bukan cara sebuah negara yang menganggap dirinya demokratik sepatutnya bertindak,” kata Albares.
Albares turut menyifatkan situasi semasa di Asia Barat sebagai “krisis global paling serius abad ini”.
Beliau berkata baru-baru ini mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran dan menggesa agar rundingan disambung semula serta Selat Hormuz dibuka kembali.
“Tiada penyelesaian selain melalui diplomasi,” katanya.
Beliau juga berkata Israel mesti menamatkan “pencerobohan haram” di Lubnan.
Albares memberi amaran bahawa ketegangan berterusan boleh meningkatkan harga tenaga dan makanan di Sepanyol serta mencetuskan peningkatan penghijrahan ke Eropah.
-- BERNAMA-ANADOLU