Skip to main content

Sukan

Piala Uber: Skuad negara mampu ke peringkat kalah mati - Iskandar Zulkarnain

KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Bekas pemain kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin pulang ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai Ketua Jurulatih perseorangan wanita (eng: Head Coach of the Women’s Singles department) ketika ditemui media pada sesi latihan bersama atlet di Petronas Akademi Badminton Malaysia dekat Bukit Kiara di sini.  --fotoBERNAMA(2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Iskandar Zulkarnain berkata beliau tidak mahu memberi tekanan kepada anak buahnya, sebaliknya berharap mereka mampu untuk menampilkan aksi yang terbaik apabila turun dalam semua perlawanan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Skuad Piala Uber negara dijangka mampu menamatkan kemarau 16 tahun mara ke pusingan kalah mati, setelah kali terakhir melakukannya pada edisi 2010.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Jurulatih Perseorangan Wanita Iskandar Zulkarnain Zainuddin berdasarkan prestasi semasa pemain badminton wanita negara yang disenaraikan ke kejohanan berprestij itu.

Bagaimanapun Iskandar Zulkarnain berkata beliau tidak mahu memberi tekanan kepada anak buahnya, sebaliknya berharap mereka mampu untuk menampilkan aksi yang terbaik apabila turun dalam semua perlawanan.

“Dari segi prestasi saya rasa kita perlu ke peringkat kalah mati. Tapi untuk pemain-pemain saya tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada mereka.

“Apa yang saya akan lakukan adalah untuk memastikan mereka bersedia dalam mana-mana perlawanan yang akan diturunkan, sebab lawan mereka juga bukan calang-calang sebab semua boleh dikatakan kuat,” katanya ketika ditemui semalam.

Kejohanan Piala Uber 2026 menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.

Cabaran skuad badminton wanita negara bakal digalas naib juara dunia beregu wanita tahun lepas Pearly Tan-M. Thinaah dibantu Carmen Ting-Ong Xin Yee serta pasangan muda Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan.

Selain itu Malaysia turut menyenaraikan K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi serta bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei yang akan beraksi dalam acara perseorangan wanita.

-- BERNAMA

Must Watch Video