KUALA LUMPUR: Malaysian Football League (MFL) memaklumkan bahawa pendaftaran beberapa pemain oleh kelab Liga Malaysia termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dibuat mengikut peraturan pertandingan yang ditetapkan.
Ia juga menegaskan, tindakan demonstrasi oleh sekumpulan individu di luar bangunan Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya semalam adalah tidak wajar.
Menerusi satu kenyataan sebentar tadi, MFL berkata pihaknya mengambil maklum mengenai tindakan sekumpulan penyokong Harimau Malaya yang mengadakan protes di hadapan pejabat itu semalam.
Menurutnya, pihaknya menghormati hak setiap pihak untuk menyuarakan pandangan, namun sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, reputasi industri bola sepak tempatan serta mencetuskan persepsi negatif terhadap ekosistem bola sepak negara adalah tidak wajar.
“MFL sebagai badan pengelola liga profesional negara sentiasa komited memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri.
"MFL menyeru semua pihak agar menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul bagi memastikan keharmonian serta imej bola sepak negara terus terpelihara," katanya.
Mengulas isu yang dibangkitkan oleh kumpulan terbabit, MFL menjelaskan bahawa proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan merupakan dua perkara yang berbeza.
Katanya, proses pengesahan status serta pendaftaran pemain naturalisasi dalam Liga Malaysia adalah seperti yang dijelaskan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Perkara 4.5.9.
"Pendaftaran pemain JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero adalah mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia kerana mereka menggunakan kad pengenalan sah sebagai warganegara Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
"Perkara itu merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran dan Perpindahan Pegawai serta Pemain, termasuk Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA Connect) yang menetapkan pemain perlu mengemukakan salinan kad pengenalan atau pasport berwarna.
"Keperluan sama turut dinyatakan dalam surat pekeliling kepada semua kelab Liga Malaysia bertarikh 12 Jun 2025 yang mewajibkan dokumen tersebut dimuat naik dalam format PDF bagi proses kelulusan pendaftaran pemain tempatan dan asing," kata badan itu.
Menurut MFL, seperti dijelaskan dalam kenyataan media pada 13 Mac lalu, keempat-empat pemain tersebut didaftarkan sebagai pemain tempatan dan bukannya pemain naturalisasi.
Sebagai pemain tempatan, mereka boleh didaftarkan terus bagi saingan Liga Malaysia musim 2025-2026, dengan Figueiredo, Irazabal dan Hevel didaftarkan oleh JDT dalam tempoh pendaftaran pertama pemain dari 9 Jun hingga 31 Ogos 2025.
Sementara itu, Palmero didaftarkan oleh Kuching City FC dalam tempoh pendaftaran kedua dari 5 Januari hingga 1 Februari 2026 selepas dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Menurut MFL lagi, keputusan untuk mengiktiraf pemain berkenaan sebagai pemain tempatan turut diperakui Konfederasi Bolasepak Asia menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Windsor Paul John pada 13 Mac lalu yang menegaskan tiada sebarang isu berhubung keputusan tersebut kerana ia selaras dengan Peraturan Pertandingan Liga Malaysia.